KUALA LUMPUR 22 Ogos – KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) mengukuhkan lagi portfolionya selepas berjaya melengkapkan usaha pengambilalihan KIPMall Desa Coalfields di Ijok, Selangor.
Kumpulan pengurusan amanah pelaburan hartanah itu turut menyelesaikan penyenaraian 123 juta unit saham baharu menerusi kelompok pertama penempatan persendirian yang telah diluluskannya sebelum ini.
Katanya lagi, pengambilalihan kompleks beli-belah yang terbaharu itu telah menjadikan jumlah aset dikendalikan oleh KIP REIT turut meningkat kepada 15 hartanah di seluruh Semenanjung Malaysia.
"Usaha ini selaras dengan strategi pertumbuhan yang dipersetujui oleh para pemegang unit semasa mesyuarat agung luar biasa pada 22 Julai 2025," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Dengan selesai kesemua pengambilalihan diluluskan, nilai keseluruhan portfolio KIP REIT dijangka mencecah RM1.6 bilion, dan melibatkan kawasan boleh disewa bersih (NLA) 0.32 juta meter persegi.
KIPMall Desa Coalfields, yang dibangunkan oleh Senz Yang Realty Sdn Bhd, merupakan sebuah pusat beli-belah berorientasikan komuniti untuk kawasan perbandaran Desa Coalfields dan persekitarannya.
Dengan gabungan penyewa yang kukuh, premis ini dijangka menyumbang pendapatan berulang stabil sambil membuka peluang penstrukturan semula campuran penyewa bagi memaksimumkan pulangan sewaan.
“Pengambilalihan KIPMall Desa Coalfields merupakan satu tambahan yang bermakna dalam portfolio peruncitan kami sendiri," ulas Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong mengenai isu itu.
Beliau berkata, lokasi yang strategik dan profil penyewa pelbagai akan terus memperkukuh asas pendapatan, di samping memperluas jejak dalam koridor pertumbuhan pinggir bandar di Selangor.
Sementara itu penempatan persendirian kelompok pertama melibatkan 123 juta unit baharu, sebahagian daripada penempatan keseluruhan sehingga 160 juta unit yang telah diluluskan oleh pemegang unit.
Dana ini kata Ong, akan digunakan bagi menyokong aktiviti pengambilalihan, inisiatif peningkatan aset, dan keperluan modal kerja serta turut menerima sambutan positif daripada institusi kewangan.
"Ini menunjukkan keyakinan pasaran terhadap strategi pertumbuhan KIP REIT dan suntikan modal ini memberi fleksibiliti kepada kami untuk menyiapkan pengambilalihan akan datang," tambahnya lagi.
Pelan peningkatan aset itu sekali gus mendekatkan kumpulan kepada sasaran aset jangka sederhana sebanyak RM2.0 bilion di samping melengkapkan beberapa lagi pengambilalihan dalam masa terdekat.
Antaranya Lotus’s Indera Mahkota dan lot komersial di Kuantan, kedua-dua di Pahang yang akan memperluas kehadiran geografi ke Pantai Timur serta menambah ketahanan hasil jangka panjang.
Tambah Ong, prestasi kali ini hadir selepas kejayaan KIP REIT menyapu bersih tiga anugerah dalam kategori REIT pada acara The Edge Malaysia Centurion Club and Corporate Awards 2025 baru-baru ini.
"Pengiktirafan ini mencerminkan rekod prestasi kukuh KIP REIT dalam menjana nilai mampan dan pulangan secara berterusan kepada pemegang unit," kata beliau. - DagangNews.com








