KIP REIT sasar kenaikan sewa cecah 10% selepas catat pertumbuhan kukuh pada 1QFY26 - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KIP REIT sasar kenaikan sewa cecah 10% selepas catat pertumbuhan kukuh pada 1QFY26 - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 OktKIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) menyasarkan kenaikan kadar sewa antara 5% hingga 10% selepas mencatatkan pertumbuhan teguh pada suku pertama tahun kewangan 2026.


Menurut TA Securities, langkah berkenaan dijangka disokong oleh kadar penghunian kukuh melebihi 90%, serta faktor peningkatan kehadiran jumlah pengunjung serta sentimen penyewa yang masih lagi stabil.


Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan syarikat kekal optimis terhadap prestasi portfolio, meskipun berdepan dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 8% ke atas sewaan komersial.


"Kami difahamkan ia hanya diramal memberi kesan minimum terhadap pendapatan KIP REIT dan usaha peningkatan sewa dinilai tidak menjejaskan penyewa," kata firma itu dalam nota kajiannya hari ini.


Semalam, KIP REIT melaporkan keuntungan bersih direalisasi sebanyak RM17.5 juta, melonjak 73% tahun ke tahun (YoY) dan 15% suku ke suku (QoQ) bagi 1QFY26 yang berakhir pada 30 September 2025.


Perkembangan itu jelas TA Securities, sejajar dengan jangkaan, meliputi 26% daripada unjuran penuh tahun dengan agihan per unit (DPU) naik 18% YoY kepada 1.8 sen, bersamaan hasil dividen sebanyak 8.3%.

 

Artikel berkaitan: Aset KIP REIT cecah RM1.6 bilion, catat prestasi pertumbuhan kukuh pada FY25

 

Dari segi operasi, pendapatan meningkat 53% kepada RM40.8 juta, manakala pendapatan hartanah bersih (NPI) bertambah 51% kepada RM29.7 juta, didorong sumbangan kukuh daripada tujuh premis.


"Ia dibantu hasil daripada pengambilalihan baharu seperti DPulze Shopping Centre, TF Value Mart, hartanah industri Cheras Jaya, KIPMall Desa Coalfields dan hartanah industri Bintulu," katanya.


Pada 17 Oktober 2025, KIP REIT memuktamadkan pengambilalihan hartanah di Pasir Gudang, Johor, dan meluas portfolio kepada 18 hartanah dengan aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah RM1.7 bilion.


Kerja-kerja naik taraf di KIPMall Tampoi bernilai RM22 juta kini 40.3% siap dan dijangka selesai menjelang Januari 2026 yang akan menambah 929 meter persegi ruang niaga boleh disewa bersih (NLA).


TA Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap KIP REIT dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.09 sesaham, berdasarkan hasil sasaran 6.5%, sambil menilai strategi pengurusan modal berhemat.


"Kami juga memandang positif rancangan kumpulan ini meningkatkan AUM kepada RM2.0 bilion menjelang 2027 sebagai pemacu utama pertumbuhan jangka sederhana," kata firma tersebut. - DagangNews.com