KUALA LUMPUR 30 April – Kerajaan Negeri Terengganu menerima sumbangan RM500,000 daripada Payment Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bagi merealisasikan pelaksanaan kiosk layan diri Terengganu Pay (TPay) dalam usaha memperkukuhkan lagi agenda pendigitalan perkhidmatan awam negeri.
Inisiatif berimpak tinggi itu turut melibatkan pelancaran lapan unit kiosk TPay yang kini mula beroperasi di lokasi strategik sekitar Terengganu yang memperluaskan penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pelaksanaan TPay merupakan langkah penting ke arah mempercepatkan transformasi digital di peringkat pentadbiran negeri.
“Ini juga membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem kewangan digital yang lebih moden dan efisien, sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat bagi menyelesaikan pelbagai urusan pembayaran,” katanya.
Majlis pelancaran TPay itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman.
Buat permulaan, kiosk bayaran itu ditempatkan di kawasan tumpuan awam termasuk Wisma Darul Iman, Bangunan Yayasan Terengganu serta Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang, selain beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpilih.
Kesemua kiosk tersebut beroperasi 24 jam sehari, membolehkan orang ramai membuat urusan pembayaran pada bila-bila masa tanpa terikat dengan waktu operasi kaunter konvensional.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk bayaran cukai tanah, cukai taksiran, fi perkahwinan Islam, fidyah, bayaran balik pinjaman Yayasan Terengganu serta sumbangan dana pengurusan masjid dan Tabung Darul Iman.
Mohd Nurkhuzaini berkata inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah memperkukuh agenda kerajaan negeri ke arah sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih telus, cepat dan bersepadu.
Beliau turut menjelaskan bahawa keseluruhan pelaksanaan projek ini tidak menggunakan peruntukan kerajaan negeri, sebaliknya disokong melalui kerjasama strategik bersama PayNet yang membiayai sebahagian kos pembangunan dan promosi.
Tambahnya, setiap kiosk turut dilengkapi dengan kemudahan pengimbas MyKad yang membolehkan semakan dan carian cukai tanah dilakukan dengan lebih pantas serta mudah hanya menggunakan kad pengenalan.
Kerajaan negeri, katanya, merancang untuk memperluaskan lagi fungsi Terengganu Pay pada masa hadapan termasuk mempertimbangkan integrasi perkhidmatan tambahan seperti bayaran parkir dan pelbagai urusan digital lain yang bersesuaian.
Pelaksanaan TPay ini dijangka menjadi pemangkin kepada ekosistem ekonomi digital Terengganu, selain mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai antara peneraju inovasi perkhidmatan awam berasaskan teknologi di Malaysia. - DagangNews.com








