Kimlun terbit sukuk komersial Islam RM18.3 juta, biaya korporat am patuh Syariah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kimlun terbit sukuk komersial Islam RM18.3 juta, biaya korporat am patuh Syariah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 SeptKimlun Corporation Berhad menerbitkan sukuk kertas komersial Islam (ICP) bernilai RM18.3 juta, sebagai sebahagian daripada program pembiayaan Islam berjumlah RM800 juta.


Menurut syarikat berkenaan, terbitan sukuk terbaharu itu menggunakan prinsip Murabahah menerusi pengaturan Tawarruq melibatkan dua peringkat di bawah Program ICP yang diluluskan sebelum ini.


Kimlun menjelaskan yang hasil terbitan ini akan digunakan oleh kumpulan untuk tujuan korporat am patuh Syariah, termasuk modal kerja, perbelanjaan modal, serta pembiayaan semula hutang sedia ada.


"Program ICP dan program nota jangka sederhana Islam yang digabungkan memberi Kimlun had maksimum pembiayaan sehingga RM800 juta nilai nominal," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Bagi penerbitan baharu ini, OCBC Al-Amin Bank Berhad dilantik sebagai Pengurus Utama berdasarkan syarat dan terma yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sejak 4 Oktober 2021.


Langkah pembiayaan ini dijangka membantu Kimlun mengukuh kedudukan kecairan kumpulan dan menyokong pelaksanaan projek serta operasi harian secara berterusan dalam kerangka pembiayaan Islam.


Murabahah merupakan kontrak jual beli dengan penjual mendedahkan kos asal barangan kepada pembeli, dan kemudian mengenakan margin keuntungan yang dipersetujui secara bersama oleh kedua-dua pihak.


Transaksi konsep ini berasaskan aset nyata contohnya bahan binaan, komoditi, atau mesin, dengan harga jualan termasuk margin keuntungan diketahui dan dipersetujui lebih awal tanpa unsur faedah.


Sementara Tawarruq pula ialah struktur pembiayaan berbentuk Murabahah berganda, yang digunakan apabila pelanggan memerlukan wang tunai, tetapi tidak boleh mengambil pinjaman secara terus.


Kaedah ini memberikan pembiayaan tunai patuh Syariah tanpa elemen riba serta sering digunakan dalam sukuk, kad kredit Islam, pinjaman peribadi Islam dan sebagainya. - DagangNews.com