KUALA LUMPUR 27 April - KHPT Holdings Bhd telah memeterai Perjanjian Jual Beli Saham bersyarat (SSA) untuk memperoleh pegangan ekuiti 100% dalam Ngai Cheong Metal Industries Sdn. Bhd. (NCMI) dengan jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM19.50 juta.
Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata pengambilalihan tersebut merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang untuk meningkatkan keupayaan teknikal serta mempelbagaikan sumber pendapatan.
Menurutnya, langkah itu membolehkan KHPT memasuki segmen pembuatan berketepatan tinggi termasuk aplikasi automotif berkaitan keselamatan serta peluang dalam sektor Elektrikal dan Elektronik (E&E).
Selain itu, pengambilalihan tersebut turut memberi akses kepada pangkalan pelanggan antarabangsa dan tempatan NCMI, sekali gus memperkukuh kedudukan kumpulan dalam rantaian bekalan serantau dan global.
Ditubuhkan pada 1979, NCMI mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam pengecapan logam berketepatan tinggi serta fabrikasi acuan dan alat, disokong oleh rangkaian pelanggan yang kukuh.
Pengarah Urusan Kumpulan KHPT, Datin Eloise See berkata pengambilalihan itu merupakan langkah strategik dan berdisiplin dalam memperkukuh platform pertumbuhan jangka panjang syarikat.
“Dengan menggabungkan keupayaan kejuruteraan berketepatan NCMI dengan operasi sedia ada, kami membina model perniagaan yang lebih pelbagai dan berdaya tahan.
“Ini bukan sekadar pengembangan, tetapi pelaksanaan strategi yang fokus untuk menjana pertumbuhan pendapatan mampan serta nilai jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya.
Transaksi tersebut turut disokong oleh jaminan keuntungan sebanyak RM7.5 juta bagi tempoh tahun kewangan 2026 hingga 2028, selain jumlah pengekalan yang sepadan serta perjanjian pajakan selama 10 tahun bagi fasiliti utama NCMI.
Dari segi prospek, KHPT menjangkakan permintaan sektor automotif akan kembali normal dengan jumlah volum industri (TIV) sekitar 790,000 unit pada 2026, manakala sektor E&E kekal berdaya tahan didorong permintaan global.
Kumpulan itu juga menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasaran automotif domestik dengan memperluas ke dalam segmen berorientasikan eksport dan pelbagai industri.
Pengambilalihan tersebut akan dibiayai terutamanya melalui pengagihan semula RM16.37 juta daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO), manakala baki menggunakan dana dalaman.
Cadangan itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan kelak. - DagangNews.com







