KUALA LUMPUR 25 Jun — Khazanah Nasional Berhad dan anak syarikatnya, Jelawang Capital, memilih lima firma modal teroka (VC) pertama mereka untuk menyertai dua skim pengurus dana yang baharu.
Skim tersebut akan membentuk kumpulan pengurus dana VC tempatan serta seterusnya bakal memupuk ekosistem modal VC lebih bertenaga, mengukuhkan tadbir urus dana, dan membina rekod prestasi.
Tambahnya, sebanyak tiga firma berkenaan menyertai Program Pengurus Dana Baharu Muncul (EMP) manakala baki dua lagi dipilih untuk terlibat dalam Inisiatif Pengurus Dana Serantau (RFI).
"Firma dipilih untuk EMP ialah Vynn Capital, Kairous Capital dan First Move, sementara AppWorks dan Granite Asia pula di bawah RFI," kata Khazanah dan Jelawang dalam satu kenyataan bersama.
EMP distrukturkan untuk menyokong pengurus dana Malaysia dalam mengumpul dana pertama, kedua atau ketiga mereka dengan matlamat mewujudkan pengurus dana VC yang berdaya saing serantau.
Inisiatif RFI pula bertujuan menarik pengurus dana serantau dan global yang komited memperkaya ekosistem permulaan tempatan, melalui menyokong pertumbuhan syarikat permulaan Malaysia.
Mereka bakal menjadi pemain antarabangsa, termasuk memudahkan syarikat global di Malaysia untuk mengembangkan keupayaan pekerjaan tempatan dan menarik bakat berkualiti dalam ekosistem Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, melalui Dana Impak dan Jelawang Capital, mereka bertindak sebagai pemangkin serta penyambung perkhidmatan VC.
Ia menghimpunkan pembiaya, pengasas dan institusi untuk mengukuhkan ekosistem dengan menyokong firma daripada syarikat permulaan yang lincah kepada perusahaan sederhana dan korporat mantap.
“Fokus kami bukan hanya modal, tetapi bilangan peserta membina ekosistem dan inovasi berkembang maju, meningkatkan daya saing serta aspek daya tahan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Firma VC itu dipilih melalui proses penilaian ketat yang tertumpu pada tesis pelaburan dana, kekuatan pasukan teras, tadbir urus dan penjajaran dengan keutamaan strategik pembangunan negara.
Dalam pada itu, Pengerusi Jelawang Capital, Datuk Hisham Hamdan pula menambah, skim VC tersebut bermula dengan pendekatan yang dipacu sistem untuk pembinaan ekosistem tempatan berdaya maju.
Melalui EMP dan RFI, pihaknya begitu teruja untuk menyokong generasi pengurus dana Malaysia akan datang dan memperdalamkan keupayaan kumpulan pengasas yang berkualiti dalam jangka masa panjang.
"Kami bangga bekerjasama dengan kumpulan pengurus dana berkaliber tinggi ini, sambil berharap mampu menambahkan lagi modal, bakat, kepakaran dan keupayaan ke dalam ekosistem ini," katanya.
Jelawang Capital merupakan sebuah syarikat di bawah Dana Impak dan akan bertindak sebagai dana kepada dana negara Malaysia untuk mengukuhkan ekosistem VC dengan peruntukannya sebanyak RM1bil.
Dana Impak memainkan peranan pemangkin dalam strategi pelaburan Khazanah, untuk memperkasa ekosistem VC, meratakan syarikat peringkat pertengahan dan mengukuhkan kedudukan negara. - DagangNews.com








