KUALA LUMPUR 13 Nov - Khazanah Nasional Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya Destination Resorts and Hotels Sdn Bhd, telah melabur lebih RM4 bilion dalam pembangunan Desaru Coast dan Legoland Malaysia Resort di Johor, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, kementerian menjelaskan bahawa pelaburan tersebut merangkumi pembangunan infrastruktur dan aset pelancongan strategik, termasuk hotel bertaraf antarabangsa.
MOF menambah, Khazanah turut menjalin beberapa kerjasama strategik di Desaru Coast bersama pelabur ternama, antaranya Permodalan Darul Ta’zim (PDT), syarikat milik penuh kerajaan negeri Johor yang bertanggungjawab menguruskan aset strategik negeri itu.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, pembangunan di Desaru Coast akan terus diperkukuh melalui penambahan bilik hotel, resort, kediaman berjenama serta pelbagai kemudahan pelancongan lain.
“Desaru Coast juga dijangka mendapat manfaat daripada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan meningkatkan lagi daya saing dan pembangunan serantau destinasi tersebut,” jelas kementerian itu.
MOF menjawab pertanyaan Yeo Bee Yin (PH–Puchong) mengenai jumlah pelaburan yang dibuat oleh Khazanah di Desaru Coast serta prestasi kewangan yang dijana daripadanya.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Dr Abd Ghani Ahmad (PN–Jerlun), kementerian memaklumkan, kerajaan tidak bercadang menubuhkan Dana Deposit Nasional bagi melindungi simpanan individu dan korporat daripada disalah guna untuk tujuan lain.
Ia menjelaskan bahawa deposit oleh individu atau syarikat tertakluk kepada tujuan tertentu dan mesti dikreditkan ke dalam Akaun Deposit di bawah penyeliaan kementerian atau jabatan masing-masing.
“MOF bertanggungjawab menubuhkan Akaun Amanah (AA) dan Kumpulan Wang Amanah (KWA) di bawah Seksyen 9 dan 10 Akta Prosedur Kewangan 1957 [Akta 61],” katanya. - BERNAMA








