KUALA LUMPUR 11 Dis – KGW Group Berhad mengambil alih sejumlah 42 unit jentera yang terpakai daripada Ability Global Sdn Bhd dengan nilai pertimbangan dipersetujui RM1.65 juta secara tunai.
Menurut syarikat itu, ia diterima anak syarikat miliknya 51%, KGW Global Solutions Sdn Bhd menerusi perjanjian jual beli bagi perolehan tersebut dibuat secara kesediaan antara penjual dan pembeli.
Kumpulan berkenaan berkata, harga berkenaan dimuktamadkan selepas mengambil kira penilaian pasaran semasa oleh firma CCO & Associates yang meletakkan nilai kesemua aset tersebut pada RM1.74 juta.
"Pengambilalihan ini dalam dua peringkat dengan pertama melibatkan tiga 'prime mover', 17 treler dan satu unit 'double axle trailer side loader'," kata KGW dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Sementara peringkat kedua jelasnya, membabitkan tiga 'prime mover' dan 18 treler, dengan bayaran deposit bagi yang pertama itu sebanyak RM903,600 akan dipegang peguam sebagai pemegang amanah.
Sementara proses untuk jentera peringkat kedua yang melibatkan deposit sebanyak RM50,000 dan baki RM697,90 akan dibayar selepas kumpulan berkenaan menerima kelulusan lesen daripada ejen kastam.
Sehingga tarikh penyiapan untuk peringkat kedua, KGW Global jelas syarikat tersebut, masih lagi akan perlu membayar sejumlah penyewaan kira-kira RM10,500 setiap bulan kepada Ability Global.
"Pengarah KGW Global dan pemegang saham utama, Datuk Tan Bok Koon, ada kepentingan dalam transaksi ini kerana beliau juga merupakan pengarah dan pemegang saham utama Ability Global," katanya.
Bagaimanapun tambah kumpulan berkenaan, beliau telah bertindak untuk tidak melibatkan dirinya sendiri daripada semua sesi perbincangan dan keputusan membabitkan urus niaga pembelian tersebut.
KGW berkata, langkah pemerolahan itu dijangka meningkatkan kapasiti operasi logistik, mengurangkan kebergantungan terhadap penyedia luar serta menyokong pertumbuhan kontrak baharu jangka panjang.
Transaksi ini juga jelas kumpulan itu, langsung tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham tetapi mungkin meningkatkan penggearan atau kadar hutang sekiranya pembiayaan bank digunakan.
"Syarikat ini turut menjangka segala usaha perolehan aset terpakai berkenaan akan mula menyumbang kepada keuntungan apabila operasi 'haulage' berada pada tahap yang optimum," katanya lagi.
Berdasarkan laporan tahunan KGW pada 2024, transaksi sebegini hanya mewakili kira-kira 3.74% daripada jumlag peratusan nisbah yang dikira di bawah keperluan penyenaraian di Bursa Malaysia.
Urus niaga ini juga jelasnya, tidak memerlukan apa-apa kelulusan pemegang saham dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang Disember 2026, tertakluk kepada penyelesaian syarat perjanjian.
Salinan perjanjian pengambilalihan aset tersebut boleh diperiksa di pejabat berdaftar syarikat selama tempoh tiga bulan bermula pada 10 Disember 2025. - DagangNews.com








