KUALA LUMPUR 6 Jun — Keyfield International Berhad telah menyelesaikan urus niaga pelupusan kapal penginapan pekerja empat titik yang dikenali sebagai Keyfield Lestari kepada sebuah firma di India.
Kumpulan perkhidmatan minyak dan gas itu berkata, kapal yang sudah berusia lebih 11 tahun itu dijual dengan harga AS$12.5 juta (kira-kira RM52.8 juta) kepada Saraf Corporation India Pte Ltd (SCIPL).
Ia merujuk pengumuman kumpulan itu pada 27 Mac 2025 berhubung pemeteraian memorandum antara anak syarikat milik penuhnya, Keyfield Offshore Sdn Bhd (KOSB) dan SCIPL untuk penjualan tersebut.
"Syarikat dengan sukacita mengumumkan KOSB menerima pertimbangan pelupusan penuh pada 6 Jun 2025 dan menyelesaikan penyerahan kepada pembeli," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
SCIPL merupakan syarikat perkhidmatan bersepadu yang berpangkalan di Mumbai, dan terkenal dengan kepakaran dalam penyediaan makanan, perkhidmatan kebersihan, logistik dan salutan pelindung.
Keyfield Lestari pula dibeli oleh kumpulan tersebut pada 2023 dengan melibatkan pelaburan awal sebanyak RM31.3 juta dan ketika ini mencatatkan nilai buku bersih yang berjumlah RM28 juta.
Syarikat meramalkan keuntungan sebanyak RM28 juta daripada penjualan kapal berkenaan, dengan perolehannya itu akan digunakan sebagai modal kerja dan bagi pengembangan kapal lebih canggih.
Selain itu, Keyfield berhasrat meningkatkan penggunaan sepenuhnya armadanya menjelang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 sebagai strategi pembaharuan dan penambahbaikan. - DagangNews.com








