KUALA LUMPUR 12 Dis - Keyfield International Berhad mengekalkan fokus strategi meningkatkan pendedahan hasil kepada aset kapal berteknologi tinggi bagi menyokong daya saing dan margin.
Menurut TA Securities, peneraju pengendali kapal penginapan pesisir (AWB) di Malaysia itu baru-baru ini menambah Keyfield Harmony bernilai RM76 juta, menjadikan jumlah kepada sebanyak tujuh unit.
Langkah ini menyasarkan permintaan sewa khas premium yang menawarkan kadar harian lebih tinggi, dengan kapal jenis 'dynamic positioning class 2' (DP2) peringkat 1 mencecah RM150,000 sehari.
"Ia lebih tinggi berbanding unit bukan DP sekitar RM90,000 sehari, manakala prestasi kewangan Keyfield kekal kukuh dengan hasil FY24 meningkat kira-kira 59.6% tahun ke tahun (YoY)," katanya lagi.
Pendapatan tersebut jelas TA Securities, melonjak kepada RM687.2 juta, sementara untung teras naik 112.7% YoY kepada RM227.8 juta, disokong oleh penggunaan kapal sendiri yang tinggi iaitu 80.4%.
Walaupun FY25 diunjurkan mencatat normalisasi pendapatan akibat kadar penyewaan turun, pemulihan kepada RM526 juta dijangka bermula FY26 hingga FY27F melalui sumbangan sejumlah DP2 yang baharu.
Dari segi operasi, Keyfield menikmati akses tender PETRONAS dan kontrak kontraktor panel (PCC), yang memberikan kesinambungan penempatan kapal walaupun tempoh penyewaan pendek kurang 8 bulan.
"Armada DP2 yang masih lagi berusia muda dan moden juga menyokong kecekapan operasi kumpulan ini, di samping mengurangkan kos penyelenggaraan dan meningkatkan kebolehsewaan," jelas TA Securities.
Aspek alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) turut menjadi keutamaan syarikat berkenaan dengan pelaksanaan teknologi 'hybrid propulsion, solar fotovoltaik (PV), dan pelaporan Scope 1–3 GHG.
Selain itu tambah firma penyelidikan tersebut, pelaburan Keyfield dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) lebih RM500,000, menunjukkan komitmen kepada kelestarian dan tata kelola yang kukuh.
TA Securities mengekalkan saranan 'pegang' dan harga sasaran RM1.70 sesaham, termasuk premium ESG 3%, melihat pendedahan DP2 yang meningkat dan kontrak jelas sebagai penyokong asas pendapatan.
"Keyfield kekal sebagai pemain utama AWB di Malaysia dengan strategi armada berteknologi tinggi dan kontrak terjamin, menyokong daya saing dan margin berstruktur," katanya. - DagangNews.com








