Keyfield diyakini raih untung bersih RM75 juta hingga RM77 juta jual kapal lama, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keyfield diyakini raih untung bersih RM75 juta hingga RM77 juta jual kapal lama, kata TA Securities

KAPAL Keyfield Compassion yang berjaya dilupuskan. - Foto kredit Keyfield International Berhad
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 FebKeyfield International Berhad diyakini mencatat keuntungan bersih sekitar RM75 juta hingga RM77 juta susulan usaha pelupusan sebuah kapal lama jenis penginapan pekerja.


Menurut TA Securities, langkah penjualan kapal 'Keyfield Compassion' oleh anak syarikat milik sepenuhnya, Keyfield Resolute Sdn Bhd, akan mengukuhkan lagi kedudukan tunai syarikat ke paras bersih.


Jelas firma tersebut, pelupusan kapal model Dynamic Positioning 2 (DP2) itu sudah dimuktamadkan sepenuhnya pada 20 Februari 2026 dengan nilai pertimbangan tunai AS$36.8 juta (kira-kira RM143 juta).


"Hasil jualan berkenaan diterima habis dan penghantaran kapal tersebut turut berjaya diselesaikan, sekali gus meningkatkan impak kewangan positif daripada transaksi itu," kata TA Securities.


Sejak pengumuman awal pada 17 November 2025, dua nota tambahan dimeterai bagi melanjutkan tarikh pembatalan dan memperincikan lokasi penghantaran serta keperluan deposit 90% baki harga belian.


Bagaimanapun tambah firma penyelidikan itu, nilai pelupusan akhir adalah kekal tidak berubah dan diselesaikan sepenuhnya secara tunai oleh pembeli iaitu Petro Laut dari Brunei kepada Keyfield.


TA Securities menjangkakan keuntungan pelupusan itu akan diiktiraf pada 1QFY26, tetapi disebabkan ia bersifat tidak berulang, keuntungan tersebut tidak dimasukkan dalam unjuran pendapatan teras.


“Kumpulan itu sebelum ini sudah beroperasi pada tahap minimum, dan selepas ini, kami menjangkakan Keyfield berada dalam kedudukan tunai bersih yang lebih kukuh, serta menambah modal,” katanya.


Hasil pelupusan berkenaan jelas firma penyelidikan itu, dijangka digunakan untuk pengembangan armada baharu pada masa hadapan, selain sebahagiannya berpotensi diagihkan kepada pemegang saham.


Dengan profil tunai lebih mantap, TA Securities melihat ruang untuk kadar pembayaran dividen FY26 melebihi 5%, tinggi daripada jangkaan awal 4.5%, tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarahnya.


Walaupun asas kewangan Keyfield bertambah baik, firma berkenaan terus mengekalkan harga sasaran RM1.70 sesaham berdasarkan penilaian sembilan kali nisbah harga kepada pendapatan pada FY26.


"Namun berikutan potensi kenaikan harga saham yang disifatkan sebagai terhad berbanding penilaian semasa, kami menurunkan saranan ke atas kumpulan ini daripada ‘beli’ kepada ‘pegang’," katanya.


Secara keseluruhan, pelupusan kapal lama itu dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kunci kira-kira dan menyediakan asas lebih stabil untuk pertumbuhan masa depan. - DagangNews.com