KUALA LUMPUR 28 Mac - Kenanga Research mengunjurkan Keyfield International Bhd meraih keuntungan sebanyak RM27.4 juta daripada pelupusan kapal penginapan pekerja (AWB), Keyfield Lestari kepada Saraf Corp India Pte Ltd.
Katanya, kapal itu yang telah disewa bagi jangka masa pendek di India sejak bulan ini dijangka akan diberikan kepada pembeli selepas urusan jual beli selesai menjelang Jun 2025.
"Pelupusan itu selaras dengan strategi pengagihan semula modal kumpulan dan menyokong pengoptimuman selanjutnya profil armadanya.
"Penjualan kapal itu akan menghasilkan anggaran penjimatan RM2 juta dalam penjimatan kos faedah tahunan.
"Oleh itu, kami percaya pelupusan itu, boleh membawa penurunan penilaian yang kecil disebabkan oleh pelupusan aset yang agak kurang nilai dalam portfolio," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Keyfield International jual kapal penginapan pekerja RM55.4 juta kepada Saraf Corp dari India
Firma penyelidikan itu berkata, kadar sewa harian kapal akan terus meningkat bagi pasaran domestik kapal sokongan luar pesisir (OSV) kerana bekalan adalah terhad.
Bagaimanapun, pendapatan kumpulan pada 1QFY25 diramal lemah berikutan kekurangan tempahan akibat musim tengkujuh.
"Kami menyukai Keyfield kerana pendedahannya terhadap pasaran OSV tempatan yang ketika ini sedang berkembang pesat.
"Usia armadanya yang muda sekitar lapan tahun dengan kapal bertaraf DP2 menjadi pilihan pelanggan dan kemasukannya sebagai kontraktor panel bagi kapal tunda pengendalian sauh (AHTS) untuk Petronas yang boleh membuka pintu kepada lebih banyak sewaan daripada pihak ketiga," katanya.
Kenanga Research mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM3.03 sesaham. - DagangNews.com








