Keyfield International jual kapal penginapan pekerja RM55.4 juta kepada Saraf Corp dari India | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keyfield International jual kapal penginapan pekerja RM55.4 juta kepada Saraf Corp dari India

Gambar/Keyfield Offshore
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Mac - Syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Keyfield International Bhd, akan menjual kapal penginapan pekerja empat titik mooring (AWB), Keyfield Lestari yang berusia 11 tahun pada harga RM55.4 juta kepada Saraf Corp India Pte Ltd (SCIPL).

 

Keyfield berkata, anak syarikat milik penuhnya, Keyfield Offshore Sdn Bhd, telah memeterai memorandum perjanjian dengan SCIPL untuk cadangan penjualan tersebut.

 

SCIPL adalah syarikat perkhidmatan bersepadu yang berpusat di Mumbai, yang pakar dalam penyediaan makanan, perkhidmatan kebersihan, logistik dan salutan pelindung.

 

Keyfield Lestari dibeli oleh kumpulan pada tahun 2023 dengan pelaburan awal sebanyak RM31.3 juta dan kini mencatatkan nilai buku bersih sebanyak RM28 juta.

 

Syarikat meramalkan keuntungan sebanyak RM28 juta daripada penjualan itu, dengan hasilnya akan digunakan untuk modal kerja dan pengembangan kapal lebih canggih.

 

Keyfield juga berhasrat meningkatkan penggunaan sepenuhnya armada menjelang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY2026).

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan Keyfield, Datuk Darren Kee Chit Huei berkata, penjualan berkenaan dijangka selesai pada suku kedua tahun 2025.

 

"Penjualan ini adalah sebahagian daripada strategi pembaharuan dan penambahbaikan armada kami, kerana Keyfield Lestari mempunyai spesifikasi yang lebih rendah berbanding AWB kami yang lain," ujarnya.

 

Chit Huei berkata, penjualan tersebut selaras dengan agenda kelestarian jangka panjang kumpulan untuk memperbaharui armadanya dengan kapal yang lebih berkeupayaan tinggi yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis pelanggan. - DagangNews.com