KUALA LUMPUR 3 Okt – Indeks Keyakinan Perniagaan (BCI) terbitan RAM Holdings Berhad menunjukkan peningkatan kepada 48.4 pada suku ketiga 2025 (3Q25), berbanding 40.0 pada suku sebelumnya.
Firma penarafan tempatan diiktiraf Bank Negara Malaysia (BNM) itu berkata, situasi ini menandakan pemulihan sentimen perniagaan yang ketara walaupun masih kekal di bawah paras neutral 50 mata.
Pertambahan tersebut katanya, namun adalah menyeluruh merangkumi semua sub-indeks kecuali sub-indeks pengambilan pekerja, yang mencerminkan keyakinan lebih baik syarikat perniagaan tempatan.
"Ini terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sepanjang tempoh tiga bulan akan datang yang selaras dengan persekitaran perdagangan global," kata RAM dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, ia menyifatkan senario itu berikutan dasar lebih jelas selepas pemeteraian perjanjian perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) pada awal Ogos 2025 yang berkaitan isu tarif.
Walaupun ada pemulihan dari paras terendah pada 2Q25, BCI masih kurang 50 mata tetap menunjukkan sentimen berhati-hati masih berlarutan, dengan majoriti perniagaan berdepan tekanan operasi.
Dalam tinjauan dilaksanakan RAM antara 25 Ogos hingga 10 September 2025 melibatkan 126 syarikat, isu utama kekal sama dengan 79% responden menilai kos perniagaan meningkat sebagai cabaran utama.
"Ia namun turun sedikit berbanding 80% pada 2Q25, diikuti oleh isu ekonomi yang lemah (72%) dan kami mendapati pelaksanaan beberapa dasar kerajaan menambah cabaran buat perniagaan," katanya.
Antaranya jelas firma itu, pelaksanaan e-invois (37%) dan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) (34%) yang dikenal pasti sebagai langkah paling memberi kesan besar terutama kepada PKS.
RAM menambah, isu semakan tarif elektrik turut disebut responden, tetapi kesannya dianggap lebih sederhana dengan kebanyakan syarikat meletakkannya di senarai kedudukan ketiga atau keempat.
Sementara itu katanya, langkah-langkah lain seperti kenaikan gaji minimum secara mandatori dan penghapusan subsidi diesel pula, dilihat sebagai kurang membebankan perniagaan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RAM, Chris WK Lee berkata, meskipun langkah seperti e-invois dan SST penting memperkukuh asas hasil negara, banyak perniagaan masih bergelut menyesuaikan diri.
“Usaha reformasi fiskal negara perlu disokong, namun dengan sokongan peralihan yang lebih padu untuk memastikan tahap kelangsungan dan daya saing sektor PKS,” tambah beliau. - DagangNews.com








