Keyakinan perniagaan merosot pada 1Q2026, kembali ke zon pesimis – RAM Ratings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keyakinan perniagaan merosot pada 1Q2026, kembali ke zon pesimis – RAM Ratings

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Mei - Sentimen perniagaan di Malaysia kembali merosot ke paras pesimis pada suku pertama 2026 apabila Indeks Keyakinan Perniagaan RAM (BCI) jatuh kepada 42.2 daripada 53.1 pada suku sebelumnya.

 

Penurunan itu sekali gus menandakan peralihan semula kepada prospek negatif bagi tempoh tiga bulan akan datang selepas indeks sempat melepasi paras neutral 50 pada suku sebelumnya.

 

Menurut RAM Ratings, semua sub-indeks mencatatkan penurunan suku ke suku (Q-o-Q), dengan kelemahan paling ketara dilihat dalam petunjuk jualan, keuntungan dan pengambilan pekerja.

 

“Penurunan ini mencerminkan syarikat semakin terkesan oleh perkembangan luaran, khususnya peningkatan konflik ketenteraan yang melibatkan Iran,” menurut kenyataan itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutif RAM Holdings Berhad, Chris W.K. Lee berkata, peningkatan konflik ketenteraan yang melibatkan Iran telah meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global.

 

Katanya, situasi itu seterusnya memberi kesan kepada harga minyak dan rantaian bekalan global sekali gus mempengaruhi kos operasi.

 

“Dalam persekitaran ini, syarikat secara munasabah menilai semula risiko, yang menjejaskan keyakinan perniagaan. Namun begitu, hasrat perbelanjaan modal masih kekal sedikit positif walaupun ketidaktentuan berterusan,” tambah beliau.

 

Kos Meningkat Kebimbangan Utama

Kebimbangan terhadap keadaan ekonomi yang lemah meningkat dengan ketara pada suku pertama 2026 apabila 71% firma menyenaraikannya sebagai cabaran utama, meningkat daripada 44% pada suku sebelumnya.

 

Pada masa sama, kos menjalankan perniagaan yang meningkat kekal antara cabaran utama, walaupun peratusan responden yang menganggapnya sebagai kebimbangan utama menurun kepada 57% berbanding 66% pada suku keempat 2025.

 

Kedua-dua faktor ini mencerminkan kesan gangguan pasaran tenaga akibat konflik di Timur Tengah terhadap operasi perniagaan, sama ada pada masa kini mahupun dalam jangkaan akan datang.

 

Pelaksanaan e-invois

RAM Ratings turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan e-invois, dengan kebanyakan firma menunjukkan kemajuan dalam persediaan, khususnya syarikat besar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Namun, syarikat yang telah memulakan persediaan berdepan cabaran dalam memahami keperluan pematuhan, meningkatkan keupayaan kakitangan serta menyesuaikan proses dalaman.

 

Sehubungan itu, banyak firma menggesa agar panduan yang lebih jelas serta sokongan teknikal diberikan sepanjang pelaksanaan inisiatif tersebut.

 

Pelaksanaan e-invois yang pada asalnya dijadualkan bermula 1 Januari 2026 kini ditangguhkan ke 2027.

 

Selain itu, 33% responden menyatakan keperluan berkaitan cukai sebagai antara cabaran utama, manakala 21% menekankan isu pematuhan buruh dan pekerja asing. - DagangNews.com