Keyakinan pemaju jatuh akibat tekanan kos, kenaikan cukai, isu pembiayaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keyakinan pemaju jatuh akibat tekanan kos, kenaikan cukai, isu pembiayaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Sept – Pembangunan sektor hartanah di Malaysia kini berdepan perubahan ketara apabila sentimen optimistik dalam kalangan pemaju merosot mendadak akibat pelbagai faktor tekanan.


Keadaan tersebut antaranya disebabkan kenaikan kos pembinaan, cabaran pembiayaan, dan pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mula menggugat rancangan pertumbuhan menjelang 2026.


Menurut Laporan Kaji Selidik Sentimen Industri Hartanah Separuh Pertama 2025 oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), hanya 19% pemaju masih optimis terhadap prospek pasaran.


"Ia penurunan drastik daripada 51% yang direkodkan enam bulan lalu, dan hanya 19% responden yakin dengan prestasi jualan akan datang,” kata Presidennya, Datuk Ho Hon Sang pada satu sidang akhbar.


Daripada 187 pemaju disoal selidik di Semenanjung Malaysia antara Jun hingga Ogos 2025, hanya 41% ingin melancarkan projek baharu dalam separuh kedua 2025, berbanding 56% pada separuh pertama.


Malahan tambah beliau, kira-kira 62% pemaju itu tidak bercadang membeli tanah yang baharu untuk pembangunan projek hartanah akan datang, berbanding hanya 30% pernah bersikap sama sebelum ini.


Penurunan ini kata Hon Sang, menandakan langkah berhati-hati oleh sebagaian besar pemaju, di tengah-tengah kebimbangan terhadap ketidakpastian ekonomi dan tekanan kos yang semakin meningkat.


"Cabaran utama dihadapi mereka antaranya kos pembinaan dan bahan binaan dengan 59% pemaju berdepan isu pembinaan, khususnya kenaikan harga bahan dan kekurangan tenaga kerja," tambah beliau lagi.


SST turut meningkatkan kos projek dengan 62% menyatakan cukai memberi impak besar, manakala
70% pula menjangkakan cukai itu akan menaikkan lagi kos pembinaan sekurang-kurangnya sebanyak 3%.


Selain itu, 51% menyatakan keadaan ekonomi semasa melemahkan pasaran, 71% pula menghadapi cabaran pembiayaan projek serta 64% berkata pembeli sukar mendapatkan pinjaman bank kerana syarat ketat.


REHDA kata Hon Sang menyeru pihak berkepentingan termasuk kerajaan, institusi kewangan dan pemain industri menilai semula dasar dan mekanisme pembiayaan, terutamanya bagi pembeli rumah pertama.


Situasi ini, menurut beliau, jika tidak ditangani segera, berisiko melambatkan pemulihan sektor hartanah dan menghalang pencapaian sasaran perumahan negara menjelang 2030. - DagangNews.com