KUALA LUMPUR 6 Mei – Tahap keupayaan pembangunan serta penghantaran produk SkyeChip Berhad, berisiko terjejas teruk sekiranya berlaku gangguan rantaian bekalan teknologi di seluruh dunia.
Malacca Securities dalam analisisnya turut memberi amaran, kumpulan itu juga dilihat bergantung besar terhadap permintaan pelanggan yang tiada kilang sendiri dan perisian reka bentuk cip.
Menurut firma penyelidikan berkenaan, cabaran tersebut menjadi risiko kritikal kepada syarikat itu dan perlu ditangani selepas penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 20 Mei 2026.
"Kami namun optimis terhadap prospek SkyeChip dan meletakkan nilai saksama (FV) RM1.48 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan 68.2% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 88 sen," katanya.
Syarikat itu ujar Malacca Securities, dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tiga tahun sebanyak 26.3%, dengan keuntungan bersih diunjurkan mampu boleh mencecah RM72.4 juta.
Perkembangan ini jelasnya, disokong oleh peningkatan permintaan teknologi kecerdasan buatan (AI), serta pengembangan strategik ke dalam segmen automotif berteknologi tinggi di seluruh dunia.
Tambahnya, model perniagaan SkyeChip berasaskan pelesenan harta intelek (IP) memberi aliran hasil berulang yang tinggi, khususnya apabila pelanggan perlu menaik taraf kepada model generasi baharu.

"Peralihan teknologi memori yang tidak serasi ke belakang memaksa pelanggan melesenkan semula IP, dan meningkatkan keterlihatan pendapatan syarikat dalam jangka panjang," kata Malacca Securities.
Kumpulan ini turut dilihat mempunyai kelebihan dari segi keupayaan teknikal apabila mampu mereka bentuk cip, setanding dengan kualiti pemain global utama dalam segmen prestasi tinggi dan AI.
Selain itu, kepakaran SkyeChip dalam teknologi High-Bandwidth Memory (HBM) dan seni bina Network-on-Chip (NoC) dijangka membantu menangani kekangan utama dalam pemprosesan data AI sendiri.
Ia kata Malacca Securities, juga meraih manfaat sebagai alternatif, membolehkan banyak syarikat Asia Timur menerima perkhidmatan tanpa kekangan kawalan eksport dikenakan ke atas vendor tertentu.
"Kemasukan ke segmen automotif melalui pembangunan IP yang memenuhi piawaian keselamatan ISO 26262 dijangka membuka peluang baharu, selari dengan peningkatan permintaan global sendiri," katanya.
Bagi FY25, SkyeChip mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 55.1% kepada RM119.5 juta, dengan keuntungan selepas cukai naik kepada RM35.9 juta berbanding RM33.7 juta pada tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, Malacca Securities melihat kumpulan ini di kedudukan strategik memanfaatkan pertumbuhan industri semikonduktor global, meskipun ada risiko kekangan rantaian bekalan dunia. - DagangNews.com








