Keupayaan makmal hasilkan 35 produk inovasi bantu Malayan Cement terus dominasi pasaran, kata CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keupayaan makmal hasilkan 35 produk inovasi bantu Malayan Cement terus dominasi pasaran, kata CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Okt - Malayan Cement Berhad mengekalkan kelebihan kompetitif menerusi kepakaran dalam inovasi produk, sekali gus membezakannya daripada pesaing, menurut CGS International (CGSI).


Firma penyelidikan tersebut menambah, prospek berkenaan dapat dilihat berdasarkan hasil lawatannya ke Makmal Pembangunan Pembinaan (CDL) syarikat simen itu di beberapa lokasi pada 27 Oktober 2025.


Katanya lagi, melalui CDL, unit campuran konkrit siap (RMC) kumpulan tersebut mampu menghasilkan sejumlah 35 produk disesuaikan, termasuk untuk pelbagai projek pusat data dan bangunan industri.


"Kami mendapati usaha Malayan Cement ini berjaya mengekalkan harga jualan purata (ASP) yang stabil walaupun pesaing pula terpaksa menaikkan harga 5% hingga 10%," kata CGSI dalam notanya hari ini.


Tambah firma berkenaan, kos bahan mentah keluaran syarikat itu sejak ditubuhkan pada 1965, kekal terkawal dengan dibantu penurunan harga arang batu, sekali gus menyokong margin untung syarikat.


Permintaan simen jelasnya, dijangka stabil dengan perbelanjaan pembangunan kerajaan yang berjumlah RM430 bilion bagi 2026 hingga 2030, termasuk projek transit rel ringan (LRT) di Pulau Pinang.


Struktur Malayan Cement kata CGSI, sepenuhnya bersepadu, termasuk kuari terbesar di Malaysia, enam kilang terintegrasi, lebih 60 loji pengadunan bahan, dan terminal simen terbesar di Singapura.


"Perkembangan positif tersebut didapati berjaya memberikan kelebihan kepada syarikat itu dengan keadaan ekonomi yang cukup kukuh dan penguasaan kapasiti pasaran domestik sekitar 65%," tambahnya.


Ia menilai harga saham kumpulan berkenaan kini 12 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) pada 2026 dengan diskaun 36% hingga 42% berbanding kontraktor besar lain seperti Gamuda dan Suncon.


Sehubungan itu, CGSI menyifatkan diskaun ini adalah tidak wajar dan menjangkakan saham Malayan Cement akan rapat seiring dengan dominasi pasaran dan pelaksanaan projek sektor awam serta swasta.


Penarafan 'tambah' namun masih dikekalkan firma berkenaan, dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM9.00 sesaham, selaras dengan kenaikan unjuran perolehan sesaham (EPS) dari FY26 hingga FY28.


"Bagaimanapun risiko penurunan masih ada termasuk permintaan hartanah lemah dan kelewatan projek infrastruktur utama yang dikenal pasti boleh menjejaskan syarikat," katanya. - DagangNews.com