KUALA LUMPUR 4 Mei – Keupayaan IJM Corporation Berhad melaksanakan projek pusat data (DC) dengan pantas dan mengikut jadual berpotensi menjadi kelebihan kompetitif utama kumpulan itu.
Menurut RHB Research, situasi positif tersebut membolehkan syarikat kejuruteraan dan pembinaan berkenaan untuk dapat meraih lebih banyak lagi kontrak dalam segmen DC yang semakin kukuh.
Setakat ini, syarikat tersebut memperoleh kira-kira RM5.1 bilion kontrak berkaitan DC merangkumi tujuh pakej kerja di Lembah Klang dan Johor, melibatkan pelbagai pemaju dan hyperscaler global.
Firma itu berkata, sekitar 45% daripada buku tempahan pembinaan domestik IJM dianggarkan bernilai RM8.2 bilion kini disumbang oleh projek DC, hampir setara dengan Sunway Construction Group Berhad.
“Kami mendapati tempoh IJM mengisi projek DC seterusnya semakin singkat, daripada 12 bulan kepada hanya lapan bulan, mencerminkan kecekapan pelaksanaan yang semakin baik,” kata nota RHB Research.

Tambahnya, bagi projek DC bernilai RM1.4 bilion di Pulai, Johor, pencapaian awal ini meningkatkan kebarangkaliannya dipilih untuk membangunkan blok yang seterusnya, sekali gus menjimatkan kos mobilisasi.
Pada masa sama, bahagian industri IJM memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada segmen DC khususnya bekalan cerucuk dan sistem pembinaan berindustri (IBS) mempercepatkan tempoh pembinaan.
Bagaimanapun, RHB Research menyemak turun unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 antara 2% hingga 12%, mengambil kira andaian lebih konservatif terhadap prestasi segmen hartanah.
"Prestasi kewangan terkini IJM masih mencabar, dengan kerugian sebelum cukai RM7.7 juta bagi tempoh sembilan bulan FY26 berbanding keuntungan RM241 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya," katanya.
Justeru, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap IJM, namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM3.20 daripada RM3.43, yang mencerminkan potensi kenaikan 33% serta pulangan dividen 3%.
Jelas RHB Research, pemangkin utama saham itu adalah kemenangan kontrak DC berskala besar, manakala risiko penurunan termasuk trend pengisian semula kontrak yang dikhuatiri perlahan. - DagangNews.com








