Keuntungan Techbond berisiko susut 7% jika kadar nilai dolar AS naik 5%, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Techbond berisiko susut 7% jika kadar nilai dolar AS naik 5%, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 NovTechbond Group Berhad berdepan risiko penyusutan keuntungan 7% sekiranya kadar nilai pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS) naik sebanyak 5%, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan berkenaan menambah, walaupun terdedah kepada turun naik mata wang asing dan ketidaktentuan tarif perdagangan global, ia tetap menjangka prospek pertumbuhan syarikat kekal positif.


Katanya lagi, unjuran tersebut berikutan asas kewangan kumpulan itu masih lagi kukuh, di samping potensi eksport yang berkembang dan kedudukan uniknya dalam rantaian nilai industri bahan kimia pelekat.


"Kami memulakan liputan ke atas Techbond dengan saranan 'beli' dan harga sasaran 42 sen sesaham, mencerminkan potensi kenaikan 35% bagi tahun kewangan 2026," kata RHB Research dalam notanya.


Penilaian tersebut jelas firma berkenaan, juga mengambil kira model perniagaan bersepadu syarikat, keseimbangan tunai bersih yang kukuh serta kelebihan kompetitif dalam pasaran pelekat serantau.


Saham Techbond kini tambahnya, diniagakan pada unjuran sebanyak 11 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY26, iaitu diskaun lebih 30% berbanding purata rakan serantau dan global.


Bagaimanapun kata RHB Research, diskaun ini dijangka mengecil apabila pasaran mula menghargai kekuatan strategik dan daya saing syarikat dalam pasaran pelekat dan bahan pengedap Asia Pasifik.


"Kumpulan ini dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 6% antara 2025 hingga 2030 kepada AS$42.9 bilion (RM180.3 bilion), didorong oleh pelbagai faktor," jelasnya lagi.


Ini termasuk proses perbandaran pesat, peningkatan e-dagang, dan pertumbuhan pengeluaran barangan elektronik yang memang bergantung tinggi kepada banyak produk keluaran Techbond sejak sekian lama.


RHB Research berpandangan syarikat itu berada pada kedudukan kukuh meraih manfaat daripada trend ini berikutan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta fasiliti pengeluaran bersepadu.


Keadaan tersebut kata firma itu, membolehkan kawalan penuh kualiti dan formulasi produk, manakala pengambilalihan Malayan Adhesives and Chemicals Sdn Bhd (MAC) pada 2023 dianggap sebagai positif.


"Situasi ini menjadi pemangkin utama pertumbuhan Techbond kerana sinergi operasi dan rasionalisasi produk di MAC dijangka meningkatkan hasil serta margin melalui peluang jualan silang," jelasnya.


Di samping itu kata RHB Research, MAG menawarkan potensi akses kepada pasaran baharu, menjadikan Techbond sebagai penyedia rumusan pelekat sehenti yang lebih kompetitif di rantau Asia Tenggara.


Firma itu turut menekankan kelebihan strategik Techbond melalui loji polimerisasi di Vietnam, yang bukan sahaja memenuhi keperluan bahan mentah kumpulan tetapi membuka akses kepada pasaran huluan.


Dengan pengeluaran bersepadu menegak, syarikat itu dapat mengawal sepenuhnya rantaian bekalan dan kualiti produk, sekali gus meningkatkan kesetiaan pelanggan serta daya saing jangka panjang.


"Kami mengunjurkan keuntungan teras FY26 hingga FY28 sebanyak 11.2%, dipacu pertumbuhan dua digit dalam segmen pelekat serta penjimatan kos hasil penstrukturan semula MAC," kata RHB Research.


Potensi tambahan jelasnya, dijangka datang daripada pengembangan pasaran eksport ke New Zealand dan Rusia, walaupun terdedah kepada risiko mata wang serta permintaan global yang tidak menentu.


Ia percaya Techbond mempunyai asas kukuh untuk mengekalkan pertumbuhan mampan, didorong oleh kekuatan operasi dan peluang eksport yang semakin luas dalam jangka sederhana. - DagangNews.com