Keuntungan SDS pada 2QFY26 susut disebabkan pengguna kurang berbelanja - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan SDS pada 2QFY26 susut disebabkan pengguna kurang berbelanja - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Dis — Prestasi SDS Group Berhad terus tertekan apabila keputusan kewangan pada 2QFY26 menunjukkan keuntungan bersih teras merosot 24.9% tahun ke tahun (YoY) kepada RM7.32 juta.


Public Investment Bank berkata, perkembangan negatif tersebut dipengaruhi oleh margin yang mengecil bagi segmen runcit dan borong susulan faktor perbelanjaan pengguna yang lebih lembap pada suku itu.


Firma penyelidikan tersebut berkata, keputusan dicatatkan syarikat perniagaan bakeri berkenaan pada 1HFY26 hanya mencapai kira-kira 41% daripada unjuran setahun penuhnya, dan jauh di bawah jangkaan.


"Penurunan ini berpunca daripada pengurangan trafik pelanggan di semua rangkaian kedai SDS, yang kelazimannya menyumbang margin keuntungan lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian hari ini.


Kumpulan tersebut mencatatkan pendapatan RM86.5 juta, susut kira-kira 4.9% tahun ke tahun (YoY), dipengaruhi oleh kejatuhan jualan runcit serta jualan borong yang turut turun sebanyak 2.8% YoY.


Dari sudut suku ke suku (QoQ) jelas PublicInvest, segmen runcit dan borong naik 1.1% dan 2.5% masing-masing berikutan permintaan lebih baik bagi produk perayaan ketika pertengahan musim luruh.


Keuntungan bersih teras suku tersebut katanya, susut ketara apabila margin bersih menguncup 2.3 mata peratus YoY, disebabkan pendapatan lebih rendah berbanding kos operasi tetap yang tinggi.


"Bagaimanapun keuntungan teras SDS untuk QoQ pula didapati berjaya meningkat kira-kira 4.1%, yang menandakan sedikit pemulihan, namun kami menurunkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28," katanya.


Perkembangan tersebut menurut PublicInvest, melibatkan anggaran hasil kumpulan yang diramalkan akan merosot sebanyak purata 11%, sejajar dengan andaian jualan runcit syarikat yang lebih konservatif.


Firma itu menjangka 3QFY26 lebih kukuh dipacu perbelanjaan musim perayaan hujung tahun, selain kos bahan mentah yang rendah serta pengukuhan nilai ringgit yang berpotensi memperbaiki margin SDS.


Pada masa sama, ia turut mengekalkan saranan 'outperform' tetapi menurunkan harga sasaran sesaham kepada 83 sen, berdasarkan kepada unjuran 12 kali keuntungan sesaham (EPS) untuk tahun depan.


"SDS turut mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 0.50 sen, dan kami percaya hasil kekal berdaya tahan disokong pengurusan kos berhati-hati," kata PublicInvest. - DagangNews.com