Keuntungan PPB pada 3QFY25 terjejas akibat kerugian besar Wilmar, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan PPB pada 3QFY25 terjejas akibat kerugian besar Wilmar, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 NovPPB Group Berhad mencatat keputusan 3QFY25 di bawah jangkaan, dipengaruhi terutamanya oleh isu kerugian besar daripada syarikat sekutunya, Wilmar International Limited.


Menurut MBSB Research, ia susulan caj penalti yang dikenakan dan mengakibatkan kumpulan tersebut merekodkan untung bersih teras pada 9MFY25 hanya sebanyak RM431.2 juta iaitu 55% daripada unjuran.


Sehubungan prestasi itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran baharu RM10.89, selepas mengurangkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 sebanyak 12% hingga 22%.


"Situasi lemah ini disebabkan sumbangan Wilmar yang berpangkalan di Singapura, dikenal pasti jatuh secara mendadak meskipun operasi teras kumpulan itu menunjukkan pemulihan lebih baik," katanya.


Sementara itu, prestasi segmen gandum dan agrobisnes kata MBSB Research, melonjak dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) pada suku ketiga 2025 meningkat 865.6% tahun ke tahun (YoY) kepada RM111 juta,


Ia disokong margin kukuh dan volum tinggi dalam operasi tepung, makanan ternakan dan ternakan, manakala bagi 9MFY25, keuntungan segmen meningkat 66.5% YoY, menandakan pemulihan menyeluruh.


Dalam pada itu, segmen produk pengguna mencatat prestasi stabil dengan lonjakan kecil 4.3% YoY kepada RM5 juta, dipacu pengurangan perbelanjaan promosi dan kawalan kos lebih ketat oleh PPB.


"Segmen pameran dan pengedaran filem naik ketara kepada RM15.7 juta iaitu 2,309% YoY berikutan peningkatan kehadiran penonton, jualan konsesi dan kos operasi pawagam yang lebih rendah," katanya.


Prestasi sukuan jelas MBSB Research, namun turun berikutan barisan tayangan yang lebih lemah, dan secara keseluruhan PPB merekodkan kerugian RM278.9 juta daripada pegangan dalam Wilmar pada 3QFY25.


Keadaan tersebut kata firma berkenaan, susulan penalti sebanyak 11.88 trilion rupiah (RM2.9 bilion) berkaitan keputusan Mahkamah Agung Indonesia mengenai intervensi pasaran minyak masak pada FY21.


Tanpa caj luar biasa itu, Wilmar sebenarnya mencatat pemulihan dengan kenaikan untung bersih teras 71.6% YoY, namun sumbangan kepada PPB masih jatuh 68.5% YoY bagi 9MFY25, ekoran pengukuhan ringgit.


"Prospek jangka panjang kumpulan diramal kekal stabil dengan pemulihan beransur-ansur sumbangan Wilmar, disokong margin kukuh produk makanan dan perniagaan makanan ternakan," kata MBSB Research.


Selain itu, pengurusan PPB kekal optimis berikutan permintaan domestik yang stabil, pemulihan ekonomi Malaysia dan peningkatan operasi dalam segmen utama di sebalik cabaran risiko luaran.


Firma itu mengekalkan pendirian PPB berada dalam kedudukan seimbang, dengan pemulihan hasil dijangka berlaku secara berperingkat apabila keadaan operasi kembali normal. - DagangNews.com