Keuntungan PGF Capital terjejas 3.1% pada 1HFY26 disebabkan pengukuhan ringgit, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan PGF Capital terjejas 3.1% pada 1HFY26 disebabkan pengukuhan ringgit, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Dis – Pengukuhan ringgit menjadi faktor utama menekan keuntungan PGF Capital Berhad, menurut TA Securities susulan pertemuan terbaharu dengan pihak pengurusan kumpulan itu.


Berdasarkan perkembangan tersebut, firma itu menurunkan harga sasaran kepada RM2.92 sesaham, namun mengekalkan saranan 'beli' selepas mengemas kini unjuran keuntungannya pada FY26 hingga FY28.


Jelasnya, walaupun berdepan ancaman tarif Amerika Syarikat (AS), hasil syarikat berkenaan mencatat pertumbuhan 3.7% bagi 1HFY26 dipacu pertumbuhan volum, dan harga jualan purata (ASP) kekal stabil. 


"Keuntungan kasar susut 3.1% tahun ke tahun (YoY) apabila ringgit kukuh berbanding dolar Australia menghakis margin kerana 30% hasil PGF diterima dalam mata wang negara itu," kata TA Securities.


Pada tempoh 3Q25 jelas firma penyelidikan itu, ringgit mengukuh kira-kira 2.6% YoY kepada purata RM2.78 bagi setiap dolar Australia, memberi kesan negatif kepada keuntungan kumpulan berkenaan.


Sehubungan itu, bersandarkan analisis sensitiviti firma berkenaan, keuntungan PGF dijangka merosot kira-kira 2.3% bagi setiap 1% pengukuhan nilai ringgit ke atas mata wang negara maju tersebut.


Bagaimanapun kata TA Securities, pengukuhan itu memberi manfaat melalui penurunan kos jentera untuk kilang baharu PGF di Kulim, Kedah, apabila perbelanjaan modal disemak kepada RM270 juta.


"Kami menilai kira-kira RM100 juta nilai pelbagai jentera yang dibeli dalam dolar AS, yang turut mendapat manfaat daripada jangkaan pemotongan kadar faedah AS pada 2026," kata firma tersebut.


Pengurusan kumpulan itu, katanya akan ke China bulan ini bagi pengambilan jentera, diikuti pemasangan tapak dan percubaan, manakala operasi kilang tersebut dijangka bermula pada 1QFY27.


Loji tersebut akan menikmati cuti cukai '5+5 tahun', yang akan bermula apabila kapasiti mencapai 30%, dan penjimatan ini dijangka membantu mengimbangi tekanan keuntungan akibat ringgit kukuh.


PGF juga kata TA Securities, akan segera mengemukakan pelan konsep kepada Lembaga Air Perak (LAP) bagi membolehkan kelulusan pelan sambungan bekalan air ke tapak projeknya di Tanjung Malim.


"Langkah ini membolehkan kelancaran operasi projek usaha sama menerusi 50.1% kepentingannya dalam Nexel Group, dan mengiktiraf keuntungan jualan tanah bersyarat 80% kadar pengambilan," jelasnya.


Perkembangan itu menjadikan pengiktirafan keuntungan tanah RM21.6 juta beralih ke FY28, manakala permintaan dijangka kukuh susulan pelaburan baharu di Tanjung Malim termasuk penubuhan kilang BYD.


Di Kulim, pembelian dua bidang tanah 3.9 hektar bakal dimuktamad, dengan sasaran pelancaran Fasa 1 pada 3Q26 melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM300 juta untuk projek pangsapuri servis.


Secara keseluruhan, walaupun pengukuhan ringgit menekan margin jangka pendek, prospek PGF disokong kapasiti baharu, penjimatan cukai dan potensi pembangunan hartanah. - DagangNews.com