Keuntungan PGF Capital pada 3QFY26 dikhuatiri tertekan akibat pengukuhan ringgit – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan PGF Capital pada 3QFY26 dikhuatiri tertekan akibat pengukuhan ringgit – TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Jan — Keuntungan PGF Capital Berhad bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 dijangka mendatar, namun berisiko terjejas susulan prestasi ringgit kekal kukuh berbanding dolar Australia.


Menurut TA Securities, jumlah keuntungan suku tahunan itu diramal sekitar RM5.9 juta, hampir sama seperti 2QFY26, walaupun permintaan terhadap produk penebat kaca bulu di Australia adalah kekal positif.


Bagaimanapun jelas firma penyelidikan itu, faktor pengukuhan ringgit yang 5% lebih tinggi daripada dolar Australia secara tahunan, dikhuatiri terus memberikan tekanan kepada margin keuntungan syarikat.


"Dalam pada itu, isu bekalan air yang sekian lama menangguhkan pembangunan hartanah PGF Capital di Tanjung Malim, Perak dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi," kata nota firma berkenaan.


Jelas TA Securities, perbincangan dengan Lembaga Air Perak (LAP) akan diadakan selepas penyerahan pelan konsep bekalan air, melibatkan perbelanjaan sekitar RM6 juta bagi kerja pemasangan paip.


Isu berkenaan tambahnya, merupakan komponen yang paling akhir sebelum kumpulan tersebut dapat melaksanakan pelancaran fasa pertama projek pembangunan hartanah bersepadu di kawasan itu.


Kata firma tersebut, pihak pengurusan PGF Capital optimis selepas isu air diselesaikan, pelan pembangunan perumahan boleh dikemukakan dengan tempoh kelulusan dianggarkan sekitar enam bulan.


"Nexel Group, syarikat usaha sama 50.1% milik kumpulan ini, disasarkan melancarkan Fasa 1 projek berkenaan pada FY27 dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM300 juta," kata TA Securities.


Justeru, ia berkata, kumpulan tersebut berpotensi mengiktiraf keuntungan jualan tanah sebanyak RM21 juta apabila kadar pengambilan mencecah 80%, yang dijangka berlaku pada 2027 (FY28).


Firma penyelidikan itu menegaskan yang pembangunan hartanah Tanjung Malim penting sebagai pemacu pertumbuhan jangka sederhana PGF Capital, di samping perniagaan terasnya iaitu produk penebat.


Projek tersebut jelas TA Securities, membolehkan kumpulan berkenaan memanfaatkan kos tanah yang rendah serta pengiktirafan kredit cukai bagi meningkatkan margin keuntungan dan aliran tunai.


"Berdasarkan akaun FY25, nilai buku tanah di situ adalah RM168 juta atau RM2.94 sekaki persegi, yang jauh lebih rendah berbanding harga jualan semasa kira-kira RM45 sekaki persegi," tambahnya.


Dari segi prestasi saham, PGF Capital mencatatkan penyusutan 9.2% sepanjang 2025 kepada RM1.95, dipercayai akibat kelewatan secara berpanjangan kumpulan itu menyelesaikan isu air dengan LAP.


TA Securities menjangkakan pemulihan harga saham syarikat tersebut masih berpotensi dalam jangka panjang sebaik kelulusan pembangunan diperoleh pada tahun ini, dan turut memberi saranan 'beli'.


Ia mengekalkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28, serta mengekalkan harga sasaran berdasarkan penilaian jumlah bahagian pada RM2.92 sesaham dengan penarafan ESG tiga bintang. - DagangNews.com