Keuntungan Binastra bagi FY26 merosot akibat margin rendah daripada projek pusat data, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Binastra bagi FY26 merosot akibat margin rendah daripada projek pusat data, kata TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 Mac – Walaupun Binastra Corporation Berhad mencatat prestasi kewangan tertinggi dalam sejarah, penyusutan keuntungan akibat margin lebih rendah perlu diberi perhatian oleh pelabur.


TA Securities berkata, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih teras FY26 sebanyak RM133.4 juta, selari dengan jangkaan apabila mencapai 99% daripada unjurannya dan 100.8% anggaran konsensus.


Firma penyelidikan itu menambah secara tahunan (YoY), hasil dan keuntungan bersih teras masing-masing naik 58.7% dan 48.1%, didorong kemajuan pembinaan dipercepatkan serta bil kemajuan tinggi.


"Momentum keuntungan suku ke suku (QOQ) namun perlahan pada kadar 13% berbanding pertumbuhan hasil 28.5%, disebabkan margin operasi rendah pada 12.4% berbanding 13.8% pada suku sebelumnya," katanya.


Menurut TA Securities, penyusutan itu berpunca daripada peningkatan sumbangan projek pusat data (DC) serta kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dengan margin lebih rendah.


Dalam pada itu tambah firma berkenaan, Binastra mengumumkan dividen interim 3.5 sen bagi 4QFY26, menjadikan jumlah dividen FY26 sebanyak 6.5 sen, yang turut melebihi jangkaan pasaran sendiri.


Dari segi prospek, syarikat itu mencatat nilai kontrak belum dilaksana sebanyak RM7.1 bilion iaitu 4.7 kali ganda hasil FY26, dan memberikan keterlihatan pendapatan kukuh bagi tempoh tiga tahun.

 

Binastra HQ_DagangNews


"Kami berpandangan kumpulan ini berada di landasan mencapai sasaran kontrak baharu RM2.5 bilion bagi FY27, disokong saluran projek yang sihat daripada pelanggan berulang," jelas TA Securities.


Antaranya EXSIM dan Maxim, serta pelanggan baharu termasuk CPI Land dan HCK Capital, dengan Binastra memberi keutamaan kepada DC dan projek hijau berbanding pembangunan kediaman bertingkat.


Situasi tersebut tambah firma penyelidikan berkenaan, memandangkan tempoh pelaksanaan projek lebih singkat iaitu satu hingga dua tahun, manakala kadar pengiktirafan hasil pula adalah lebih pantas.


Langkah ini dilihat kata TA Securities, paling praktikal dalam mengoptimumkan aliran tunai dan mempercepatkan ‘pengiktirafan buku tempahan’, sejajar dengan tahap kontrak semasa yang tinggi.


"Selain itu, Binastra menyasarkan dua kontrak DC baharu pada FY27, serta meneroka peluang bagi penggabungan dan pengambilalihan (M&A) sebagai mengukuhkan kepakaran teknikalnya," jelasnya.


Dari sudut penilaian untuk 12 bulan akan datang, firma tersebut menetapkan harga sasaran (TP) RM3.23 sesaham berdasarkan unjuran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 17 kali.


Selepas penyusutan harga saham sebanyak 7.9% tahun ini, saham kumpulan itu kini diniagakan pada penilaian lebih rendah sekitar diskaun 20% berbanding indeks pembinaan Bursa Malaysia sendiri.


Justeru, TA Securities mengekalkan saranan 'beli', disokong hubungan kukuh dengan pelanggan utama, kedudukan strategik dalam sektor hartanah serta prospek pendapatan positif. - DagangNews.com