Ketidaktentuan sektor automotif berterusan ketika jualan pulih - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan sektor automotif berterusan ketika jualan pulih - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Industri automotif tempatan mencatatkan prestasi lebih kukuh pada Julai 2025 dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat kepada 70,057 unit, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, angka tersebut menunjukkan lonjakan 28% berbanding bulan sebelumnya (MoM), namun sebenarnya masih mencatatkan penyusutan 5% jika perbandingan tahun ke tahun (YoY).


Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengakui, jualan kali ini sebahagian besarnya dijangka berikutan bulan kerja penuh pada Julai (23 hari berbanding 19 hari pada Jun), susulan perayaan Aidiladha.


"Peningkatan TIV itu kebanyakan dipacu oleh jenama nasional seperti Perodua yang mencatatkan lonjakan 50% MoM, dan Proton dengan peningkatan sebanyak 24% MoM," kata RHB Research dalam nota kajiannya.


Jenama Jepun pula kata firma tersebut, menunjukkan pertumbuhan sederhana dengan Honda (13% MoM) dan Toyota (14% MoM), manakala jenama China iaitu Chery naik 11% MoM tetapi BYD pula menyusut 18% MoM.


Dominasi jenama nasional turut mengukuh kepada 64% daripada pegangan pasaran sepanjang Januari hingga Julai 2025, berbanding 62% pada 2024, dengan Perodua kekal peneraju, menyumbang 45% daripada TIV.


Dari segi jumlah pengeluaran keseluruhan (TPV), 66,000 unit dicatatkan pada Julai, meningkat 37% MoM dan 1% YoY, didorong Perodua (36% MoM) dan Toyota (55% MoM), yang memenuhi jangkaan promosi Merdeka.


"Dalam segmen kenderaan elektrik (EV), BYD muncul jenama terlaris, menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan 870 unit didaftarkan, diikuti Proton (686 unit) dan Tesla (256 unit)," katanya.


Bagaimanapun tambah RHB Research, jumlah pendaftaran EV secara keseluruhan mencatatkan penurunan 15% MoM kepada 2,792 unit, menjadikan jumlah terkumpul bagi tahun ini sebanyak 19,935 unit setakat Julai.


Angka itu kata firma tersebut, hanya 4.2% daripada keseluruhan kenderaan didaftarkan, meningkat berbanding 2.5% pada 2024 dengan pasaran menjangkakan peningkatan jualan EV menjelang akhir tahun.


Keadaan ini didorong sebelum penamatan insentif pengecualian cukai bagi model CBU EV pada Disember 2025 tetapi harga tinggi dan infrastruktur pengecasan terhad** terus menjadi kekangan pertumbuhan.


"MAA melaporkan TIV bagi tempoh 7 bulan pertama 2025 mencecah 443,777 unit (-6% YoY), menyumbang 61% daripada unjuran tahunan sebanyak 730,000 unit. Justeru, sektor ini dilihat perlahan," katanya.


RHB Research menyifatkan pasaran masih berada dalam landasan unjuran walaupun sentimen pengguna didapati semakin lemah dan difahamkan, pemulihan TIV dijangka disokong oleh beberapa pemangkin. 


Antaranya kata firma berkenaan, kempen promosi agresif serta pelancaran model baharu seperti Proton X50 facelift, Chery Tiggo 8 PHEV, dan Mazda CX-60 dalam baki enam bulan terakhir tahun ini.


Tinjauan namun kekal berhati-hati, memandangkan persaingan harga dalam segmen bukan nasional serta kekurangan pemangkin jangka pendek yang kemungkinan mampu melonjakkan jualan secara lebih ketara.


"Risiko penurunan sektor automotif termasuk kelembapan dalam pengambilan tempahan serta kelewatan penghantaran kenderaan, di samping kemungkinan gangguan rantaian bekalan global," tambahnya lagi.


Sebaliknya kata RHB Research, sekiranya faktor-faktor ini pulih atau permintaan meningkat melebihi jangkaan, ia boleh menjadi pemangkin positif kepada potensi pasaran industri automotif tanah air. - DagangNews.com