KUALA LUMPUR 26 Ogos – AGX Group Berhad terus menunjukkan prestasi positif bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25), dengan untung bersih teras melonjak lebih 100% tahun ke tahun (YoY).
Menurut Mercury Securities, kumpulan logistik berkenaan mencatatkan keuntungan selepas cukai RM8.39 juta, disokong pertumbuhan kukuh merentas semua segmen logistik dan kawalan kos operasi berkesan.
Bagaimanapun tambah firma penyelidikan berkenaan, ketidaktentuan geopolitik dan tekanan kos logistik global terus menjadi faktor yang mengehadkan potensi penarafan semula saham syarikat itu.
"Kami mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran sesaham disemak semula kepada 53 sen, daripada 54 sen, selepas menukar kaedah penilaian perolehan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Hasil sepanjang 1HY25 adalah selari dengan jangkaan, menyumbang sebanyak 49% daripada unjuran tahun penuh Mercury Securities, walaupun belum ada sebarang dividen diumumkan untuk tempoh suku ini.
Pihak pengurusan AGX tambah Mercury Securities, namun tetap komited untuk terus mengekalkan kadar pembayaran dividen kumpulan berkenaan sebanyak 30%, dan dijangka dibayar pada akhir tahun kalendar.
Hasil kumpulan meningkat 25% YoY, dipacu prestasi cemerlang antaranya dalam pengangkutan jalan raya (+83% YoY) menerusi laluan Thailand–Myanmar dan penghantaran udara (+58% YoY) Malaysia dan Vietnam.
Ia juga dibantu penghantaran laut (+21% YoY) terutamanya dari Malaysia dan Vietnam dengan pasaran Malaysia mendapat manfaat daripada pengembangan hab logistik di Pulau Pinang dan Johor Bahru.
"Vietnam menyumbang kira-kira RM7.6 juta sebagai pasaran baharu, manakala Filipina kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak 38%** daripada jumlah hasil AGX pada 1HFY25," kata Mercury Securities.
Margin kasar namun katanya, didapati menyusut sebanyak 90 mata asas kepada 28%, selaras dengan unjuran firma itu sendiri, disebabkan tekanan harga dalam usaha pengembangan pasaran di Vietnam.
Kadar cukai efektif rendah pada 20% turut menyumbang kepada pertumbuhan keuntungan bersih, selain margin meningkat 2.5 mata asas kepada 13%, hasil kerugian tukaran wang asing (forex) yang rendah.
Mercury Securities menambah, berbanding suku sebelumnya (QoQ), hasil 2QFY25 meningkat 13%, dipacu oleh lonjakan permintaan untuk logistik industri aeroangkasa (+34%) dari Malaysia dan Filipina.
AGX turut disokong pertumbuhan dalam pengangkutan darat dari Myanmar, namun untung bersih teras merosot 9% QoQ kepada RM4.0 juta, antaranya dipengaruhi oleh kerugian forex sebanyak RM1.13 juta.
"Dalam menghadapi landskap global yang berubah-ubah, AGX mengekalkan pendekatan berhati-hati dan memberi fokus kepada strategi utama seperti mempelbagaikan pelanggan dan pasaran baharu," katanya.
Langkah itu mengekang risiko kelembapan serantau, selain peningkatan kecekapan operasi melalui teknologi canggih, dan kerjasama strategik untuk memperluas penawaran perkhidmatan logistik.
Berdasarkan kepada perkembangan tersebut, Mercury Securities mengekalkan unjuran pendapatan AGX tanpa ada apa-apa perubahan ketara kerana pencapaian pada 1HFY25 adalah selari dengan jangkaan.
Walaupun situasi jangka pendek agak mencabar, firma tersebut kekal positif terhadap prospek jangka panjang AGX sendiri, disokong oleh model perniagaan ringan aset yang fleksibel dari segi kewangan.
Kumpulan itu juga memiliki kepakaran dalam logistik aeroangkasa dan permintaan penyelenggaraan, baik pulih selepas Covid-19 serta potensi tinggi rentas sempadan khususnya di rantau ASEAN. - DagangNews.com








