KUALA LUMPUR 5 Dis – Ketidaktentuan berhubung pelaburan CelcomDigi Berhad dalam Digital Nasional Berhad (DNB) terus menjadi faktor utama yang meningkatkan premium risiko syarikat tersebut.
Susulan itu, CGS International (CGSI) mengekalkan saranan 'pegang' namun menurunkan harga sasaran berasaskan model Gordon kepada RM3.38 selepas menyemak semula unjuran keputusan kewangan 3Q25.
Firma penyelidikan itu menjelaskan, kumpulan tersebut dijangka masih dapat memperoleh sokongan pertumbuhan pendapatan melalui penurunan kos susut nilai dan pelunasan (D&A) pada FY26–FY27.
"Bagaimanapun, ketidaktentuan berhubung komitmen kewangan masa depan berkaitan DNB telah mengekang prospek kenaikan harga saham CelcomDigi itu sendiri," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
CGSI berpendapat, dengan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 17.7 kali pada FY26 serta hasil dividen 4.8%, penilaian dilihat adil, dan pasaran juga menunggu penyelesaian isu aliran tunai DNB.
Dalam semakan terkini, syarikat itu dijangka mencatat pertumbuhan purata tahunan 21% bagi untung bersih teras (CNP) antara FY24 dan FY27, apabila kos berkaitan masalah penggabungan semakin surut.
Justeru, ia mengunjurkan kos susut nilai dan pelunasan (D&A) menurun 25.5% daripada paras FY24 menjelang FY27, dan pengurangan terbesar pada FY25 dengan 9M25 merosot 10% tahun ke tahun (YoY).
"Integrasi sistem teknologi maklumat (IT) dalam CelcomDigi, yang kini masih berganda, dijangka berupaya menjana balik penjimatan tambahan apabila penyatuan selesai menjelang 2027," jelas CGSI.
Hasil keseluruhan kumpulan telekomunikasi berkenaan kata firma penyelidikan tersebut, dijangka menyumbang kepada peningkatan 62% dalam perolehan kasarnya sepanjang tempoh FY24 hingga FY27.
Ia turut menilai pengumuman syarikat pada 2 Disember 2025 bahawa kerajaan melaksanakan opsyen jual, yang menyebabkan CelcomDigi perlu mengambil alih pegangan saham DNB sebanyak RM327.9 juta.
Perkembangan itu jelas CGSI, menambah kebimbangan pasaran, memandangkan penyata kewangan DNB pada 2024 mendedahkan kerugian terkumpul sebanyak RM3.2 bilion, manakala hutang bersih RM3.2 bilion.
"Walaupun kerugian dijangka berkurang selaras peningkatan pembayaran oleh operator rangkaian mudah alih, kami menegaskan aliran tunai DNB dan sebarang komitmen kewangan masih belum jelas," katanya.
Bagi mencerminkan risiko itu, ia menaikkan kos ekuiti (COE) kepada 8.5% daripada 8.2%, bersama pengurangan unjuran FY25 hingga FY27, serta menurunkan harga sasaran daripada RM4.00 sesaham.
CelcomDigi dijangka mengekalkan pertumbuhan pendapatan sihat, dan CGSI berpandangan ketidaktentuan berkaitan kemelut dalam DNB akan terus mengehadkan potensi peningkatan saham untuk masa terdekat.
Selain itu tambah firma berkenaan, penyelesaian isu DNB termasuk kesannya terhadap aliran tunai dan penggunaan modal, akan menjadi pemangkin utama bagi penilaian semula syarikat secara positif.
"Sebarang kejutan negatif daripada DNB berpotensi menjadi risiko penurunan terbesar," katanya yang mengekalkan Telekom Malaysia dan Axiata sebagai saham pilihan keutamaan. - DagangNews.com








