Ketidaktentuan pasaran kereta terpakai, RHB Research hentikan liputan ke atas ELK-Desa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan pasaran kereta terpakai, RHB Research hentikan liputan ke atas ELK-Desa

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Ogos – RHB Research bertindak menamatkan liputan ke atas dagangan saham ELK-Desa Resources Berhad susulan usaha penyusunan semula keutamaan dalaman kumpulan berkenaan.


Firma penyelidikan itu berkata, langkah ini diambil ketika syarikat kredit tersebut berdepan dengan pelbagai cabaran yang berterusan dalam pemulihan keuntungan berikutan tekanan kos sara hidup semasa.


Antaranya termasuk faktor ketidaktentuan dalam pasaran kenderaan disebabkan isu struktur daripada persaingan sengit pasaran kereta baharu yang menjejaskan pembiayaan nilai baki kereta terpakai.


"Kami turut mengenal pasti ELK-Desa hanya meraih untung bersih suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) susut 21% tahun ke tahun (YoY) kepada RM6.4 juta," kata RHB Research dalam nota kajiannya.


Kemerosotan itu tambahnya mewakili hanya 15% daripada unjuran setahun penuh firma penyelidikan tersebut sebelum ini yang berpunca daripada faktor kos kredit ditanggung yang jauh lebih tinggi.


Perkembangan semasa itu katanya, mencerminkan kelemahan pembayaran balik oleh sebahagian besar penyewa, serta kerugian secara berterusan dalam jualan semula kenderaan yang ditarik balik.


RHB Research menambah, kos kredit 1QFY26 meningkat kepada 7.1% berbanding 5.7% pada tempoh sama tahun lalu dan angka tersebut melepasi unjuran tahunan firma tersebut sendiri sebanyak 5.1%.


"Segmen sewaan beli hanya merekodkan pertumbuhan 8% YoY kepada RM721 juta, namun ini masih jauh ketinggalan daripada sasaran ditetapkan oleh pihak pengurusan antara 10% hingga 15%," katanya.


Lebih membimbangkan firma penyelidikan berkenaan, kadar nisbah pinjaman terjejas bersih dicatatkan ELK-Desa melonjak kepada sebanyak 0.85% berbanding kira-kira 0.60% pada tempoh suku sebelumnya.


Justeru, RHB Research menekankan bahawa strategi harga agresif oleh pengeluar kenderaan elektrik (EV) China di Malaysia menyebabkan penyusutan nilai semula kenderaan enjin pembakaran dalaman.


Keadaan lemah tersebut tambah firma berkenaan, sekali gus telah meningkatkan kadar risiko kredit dan mengurangkan tahap pemulihan kepada aset kumpulan itu sendiri dalam tempoh jangka panjang.


"Untuk segmen perabot, yang biasanya menunjukkan prestasi kukuh, mencatatkan penurunan jualan 19% suku ke suku (QoQ) walaupun naik 8% YoY di sebalik margin kasar masih lagi adalah kekal stabil.


Perbelanjaan operasi untuk perniagaan segmen ini kata RHB Research, melonjak 26% YoY, terutamanya disebabkan peningkatan jualan dari Sabah dan Sarawak, yang melibatkan kos pengedaran lebih tinggi.


Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi segmen ini pula tambah firma tersebut hanya mencecah RM0.4 juta iaitu, tahap paling rendah dalam tiga suku terakhir pernah direkodkan oleh ELK-Desa selama ini.


Berdasarkan kepada situasi yang kurang positif pada ketika ini, firma itu bertindak menghentikan liputan ke atas kumpulan ini dengan penilaian terakhir ‘neutral’ dan harga sasaran RM1.20 sesaham.


"Kami jangka keuntungan diperoleh selepas ini kekal mencabar terutama dalam persekitaran dibebani tekanan inflasi, risiko kredit meningkat dan gangguan struktur pasaran automotif," katanya. - DagangNews.com