Ketidaktentuan harga bahan mentah antara faktor hasil BM Greentech diunjur susut - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan harga bahan mentah antara faktor hasil BM Greentech diunjur susut - Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Jun — Situasi ketidaktentuan harga bahan mentah yang melibatkan minyak kelapa sawit ketika ini menjadi antara faktor hasil BM Greentech Berhad diunjur berlaku penyusutan, kata Phillip Capital.


Firma penyelidikan tersebut berkata, peningkatan atau penurunan harga komoditi tersebut tanpa dijangka boleh mempengaruhi pula keupayaan kumpulan itu dalam pengeluaran komersial biodiesel untuk kenderaan. 


Perkembangan negatif itu diramal boleh memberi kesan kepada segmen bio selain perubahan yang tidak diduga dalam dasar kerajaan mengenai ekonomi hijau dan berkemungkinan menjadi risiko utama kepada BM Greentech.


"Keadaan ini dapat dilihat daripada kedudukan hasil yang dicatatkan merosot sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun (YoY) untuk FY25 walaupun kos input didapati lebih rendah," kata Phillip Capital dalam nota kajiannya. 


Bagaimanapun tambah firma itu, hasil daripada segmen bio-tenaga kumpulan tersebut melonjak tinggi kira-kira 51 peratus YoY kepada sebanyak RM50.3 juta yang dipacu oleh margin projek lebih kukuh pada tahun ini.


BM Greentech katanya, terus mengejar momentum didorong penyahkarbonan industri minyak sawit, apabila ramai pemain beralih daripada penjana berkuasa diesel kepada rumusan lebih mampan seperti bio-tenaga dan solar.


Segmen solar kumpulan itu turut menyaksikan lonjakan 208 peratus YoY dalam hasil pada FY25, terutama disebabkan oleh sumbangan selama lima bulan daripada syarikat Plus Xnergy (PXH) yang baru diperoleh.


Ia terkenal dengan rekod prestasi kukuh dalam projek utiliti solar berskala besar (LSS) dan berada pada kedudukan baik untuk meneroka banyak peluang terkini kerajaan daripada LSS5, LSS5+ dan LSS6 yang akan datang.


"Kami mendapati PXH terlibat secara aktif dalam dua Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dengan satu dalam fasa pelaksanaan manakala satu lagi dalam peringkat lanjutan pemuktamadan kontrak," kata firma itu.


Pengurusan BM Greentech tambah Phillip Capital, turut yakin mampu meraih margin keuntungan kasar menerusi segmen bio-tenaga yang kekal sihat dengan mengekalkan ramalan julat antara 15 hingga 16 peratus.


Berdasarkan perkembangan tersebut, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan saranan "beli" ke atas kumpulan itu dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM2.70 sesaham. - DagangNews.com