Ketidaktentuan garis masa projek berisiko jejaskan potensi kerja UUE, kata PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan garis masa projek berisiko jejaskan potensi kerja UUE, kata PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Ogos — UUE Holdings Berhad masih terdedah kepada risiko ketidaktentuan dalam garis masa pelaksanaan projek yang dikendalikannya, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, ia antara dua kelemahan utama yang dikenal pasti mungkin boleh menjejaskan lagi potensi kerja kumpulan penyedia rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah tersebut.

 

Tambahnya, risiko berkenaan amat tinggi sekiranya projek yang diuruskan syarikat tersebut berada di kawasan berpenduduk padat terutama di bandar-bandar besar dan sepanjang tempoh musim perayaan.

 

"Kelewatan disebabkan masalah garis masa yang tidak menentu ini boleh memberi kesan kepada permulaan kerja dan urusan pengebilan kemajuan projek UUE Holdings," kata PublicInvest dalam nota kajiannya.

 

Selain isu itu, firma berkenaan mendapati kumpulan tersebut melaksanakan pergantungan secara ketara kepada kontraktor utama untuk penganugerahan projek yang bertaraf kekal sebagai had strukturnya.

 

Kata firma tersebut, masalah dialami kumpulan itu disebabkan ia kebiasaannya hanya menjalankan skop utiliti bawah tanah pakar dan bukannya bertindak sebagai kontraktor utama dalam projek berkenaan.

 

Justeru, PublicInvest berpandangan, situasi tersebut mengakibatkan banyak projeknya dikaitkan terus dengan kejayaan rakan kongsi utama dan mungkin boleh mendedahkan risiko di luar kawalannya sendiri.

 

"Secara keseluruhan, UUE Holdings masih merupakan syarikat yang berkembang pesat dalam bidang dikendalikannya dan disokong buku tempahan besar mencecah RM421.7 juta setakat Jun 2025," katanya.

 

Ia turut dibantu dengan baik oleh dua anak syarikat milik penuhnya, Kum Fatt Engineering Sdn Bhd untuk pasaran Malaysia, manakala Konnection Engineering Pte Ltd pula beroperasi di Singapura.

 

Berdasarkan perkembangan semasa, PublicInvest yang baru memulakan liputan ke atas kumpulan itu meletakkan penarafan 'outperform' dengan harga sasaran RM1.00 sesaham. - DagangNews.com