Ketidaktentuan DNB disasarkan selesai pada 3Q26 selepas CelcomDigi, Maxis ambil alih sepenuhnya - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidaktentuan DNB disasarkan selesai pada 3Q26 selepas CelcomDigi, Maxis ambil alih sepenuhnya - HLIB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 9 Julai – Ketidaktentuan berhubung Digital Nasional Berhad (DNB) disasarkan mula reda menjelang suku ketiga 2026 apabila CelcomDigi Berhad dan Maxis Berhad mengambil alih kawalan penuh.

 

Langkah itu menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) membuka ruang pengoptimuman rangkaian 5G dan memperkukuh prospek sektor telekomunikasi yang turut disokong isu disiplin harga dalam industri.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun sektor berdepan cabaran kelewatan proses pemindahan pegangan saham DNB, asas industri semakin kukuh hasil pertumbuhan stabil pendapatan perkhidmatan.

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor telekomunikasi dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan CelcomDigi kekal sebagai pilihan utama," jelasnya dalam analisis.

 

Ujar HLIB, perkembangan paling penting sepanjang separuh pertama 2026 ialah kemunculan disiplin harga yang rasional dalam kalangan pengendali mudah alih selepas berdepan dengan persaingan sengit.

 

Katanya, CelcomDigi memulakan pelarasan harga pada Januari 2026 dengan menaikkan pelan prabayar, diikuti Maxis menyemak semula pelan Hotlink, manakala U Mobile turut menaikkan harga pelan asasnya.

 

sektor telekomunikasi-DagangNews2026

 

Walaupun pelan baharu menawarkan kuota data tinggi, langkah itu membolehkan syarikat memanfaatkan peningkatan penggunaan data mudah alih dengan berkesan apabila pelanggan beralih pelan lebih baik.

 

"Kami menjangka purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) terus meningkat sepanjang separuh kedua 2026, dan menyokong pertumbuhan hasil perkhidmatan tanpa kehilangan ketara pelanggan," tambah HLIB.

 

Menurutnya, tindakan pelarasan harga secara menyeluruh mencerminkan persaingan industri kini lebih fokus kepada keuntungan berbanding 'perang' harga, selain isu DNB semakin menghampiri penyelesaian.

 

Proses pemindahan pegangan saham dijangka dimuktamadkan menjelang akhir 3Q26, membolehkan Maxis dan CelcomDigi mengoptimumkan operasi rangkaian 5G serta menambah baik struktur kos syarikat.

 

Dalam segmen jalur lebar tetap, HLIB menjangka persaingan lebih tertumpu kepada usaha peningkatan kelajuan internet, pakej peranti dan promosi tanpa melibatkan pemotongan harga secara agresif.

 

"TM, Time dotCom Berhad dan CelcomDigi berada pada kedudukan terbaik memanfaatkan pertumbuhan infrastruktur jalur lebar, manakala Axiata Group Berhad turut berpotensi mencipta nilai," jelasnya. 

 

Bagaimanapun, ia mengingatkan persaingan harga agresif, kelewatan lanjut pemindahan saham DNB serta kelembapan operasi kekal risiko utama prospek sektor telekomunikasi. - DagangNews.com