KUALA LUMPUR 9 Julai – Langkah intervensi pantas kerajaan berjaya melindungi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada kesan terburuk krisis tenaga global yang berisiko mencetuskan penutupan operasi secara besar-besaran, menurut Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).
Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata ketika kebanyakan ekonomi dunia termasuk negara anggota ASEAN berdepan tekanan akibat impak ketegangan geopolitik dan krisis tenaga global, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan hasil perancangan fiskal yang tepat, pengurusan rantaian bekalan strategik serta inisiatif bantuan kewangan bersasar kerajaan.
Beliau berkata, apabila ketegangan geopolitik memuncak pada awal tahun ini, pemain industri khususnya pengusaha PKS telah membuat persediaan menghadapi kemungkinan harga minyak mentah Brent melonjak melebihi AS$100 setong, peningkatan inflasi tanpa kawalan serta gangguan rantaian bekalan yang boleh menyebabkan penutupan operasi secara besar-besaran.
Menurut beliau, sebagai langkah awal, majoriti PKS memperkemas kecekapan operasi dengan menangguhkan perbelanjaan kurang kritikal seperti pemasaran, latihan pekerja dan penyelenggaraan, selain mengubah strategi rantaian bekalan daripada terlalu bergantung kepada negara Barat kepada rakan kongsi serantau yang lebih stabil.
"Selepas lima bulan krisis ini berlangsung, kebimbangan terhadap kelumpuhan ekonomi yang dijangka sebelum ini tidak menjadi kenyataan.
“Walaupun harga minyak Brent meningkat 27% tahun ini dengan purata sekitar AS$93 setong, ekonomi Malaysia berjaya mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4% pada suku pertama 2026, membuktikan daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi tekanan global.
“Sektor peruncitan dan kuasa beli domestik kekal kukuh tanpa menyaksikan gelombang penutupan perniagaan atau pemberhentian pekerja secara besar-besaran seperti yang berlaku di beberapa negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kestabilan ekonomi itu turut disumbang oleh tindakan pantas kerajaan termasuk mengekalkan subsidi petrol domestik serta memperketat penguatkuasaan langkah antipencatutan, yang membantu mengekalkan kadar inflasi negara di bawah paras 2%.
"Langkah pembendungan ini secara langsung mengelakkan kos operasi PKS daripada melambung di luar kawalan," katanya.
Selain itu, pengurusan awal stok simpanan bahan api domestik serta koordinasi rantaian logistik yang cekap di pelabuhan utama negara berjaya mengelakkan gangguan besar terhadap bekalan yang meningkatkan keyakinan pelabur asing dan domestik terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih selamat ketika ketidaktentuan global.
William berkata, pendekatan menyeluruh kerajaan atau "whole-of-government" turut memainkan peranan penting apabila persatuan industri utama termasuk Samenta dipanggil untuk sesi rundingan sejak Mac lalu melibatkan kerjasama antara Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut beliau, antara bantuan disediakan termasuk Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SRF) bernilai RM5 bilion bagi membantu PKS terjejas, selain jaminan kredit RM10 bilion melalui Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), dengan margin jaminan ditingkatkan sehingga 80% bagi memudahkan akses pembiayaan tambahan.
Bagi meningkatkan daya tahan jangka panjang PKS, Samenta turut melancarkan Pensijilan Ekonomi Kitaran pertama di rantau ASEAN untuk membantu syarikat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah utama dan tenaga fosil, selain menggerakkan program jelajah 50 ‘Hyperlocal AI Fest’ di seluruh negara bagi membimbing PKS mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian.
Samenta menjangka ekonomi Malaysia akan terus kekal kukuh, disokong pelaburan berskala besar dalam sektor pusat data serta pengukuhan infrastruktur digital negara, manakala kerjasama erat antara kerajaan dan industri akan terus menjadi pemangkin kepada daya tahan PKS dalam menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan. - DagangNews.com








