Enest kutip hasil RM42 juta bagi 1QFY26 didorong permintaan tinggi sarang burung walet di pasaran China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Enest kutip hasil RM42 juta bagi 1QFY26 didorong permintaan tinggi sarang burung walet di pasaran China

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 9 JulaiEnest Group Berhad mengumpul hasil mencecah RM42.11 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, dipacu permintaan tinggi produk sarang burung walet di pasaran China.

 

Ujarnya, pertumbuhan kukuh ini turut membolehkan syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.15 juta bagi tempoh yang sama, menjelang perpindahannya ke Pasaran ACE pada 15 Julai 2026.

 

Peningkatan prestasi kewangan ini didorong secara langsung oleh jumlah jualan sarang burung walet bergred tinggi yang selari dengan permintaan pasaran, khususnya dari pengguna di China sendiri.

 

"Segmen sarang burung walet menjadi penyumbang utama dengan nilai RM41.31 juta atau kira-kira 98.1% daripada jumlah keseluruhan pendapatan syarikat," jelas Enest dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sementara dari segi pecahan mengikut geografi pula menunjukkan pasaran China menyumbang sebanyak RM27.42 juta iaitu kira-kira 65.1%, manakala jualan tempatan menjana hasil RM14.65 juta atau 34.8%.

 

Kedudukan prestasi itu merupakan laporan kewangan interim pertama yang dikeluarkan oleh syarikat selepas pematuhan kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Enest_DagangNews2026

 

"Sehubungan itu, tiada angka secara perbandingan bagi tempoh suku yang sama pada tahun sebelumnya dapat disediakan kumpulan," tambah Enest yang sudah disenaraikan di Pasaran LEAP sejak 2019 lalu.

 

Syarikat itu turut melaporkan keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM2.66 juta dan setakat 31 Mac 2026, ia mencatatkan jumlah ekuiti RM53.99 juta dan tunai serta setara tunai RM28.24 juta.

 

Mengenai prospek masa depan, Lembaga Pengarah menyatakan optimis terhadap industri sarang burung walet yang didorong oleh peningkatan pendapatan boleh guna dan tahap kesedaran kesihatan pengguna.

 

Bagaimanapun, Enest akan terus memantau keadaan ekonomi di China serta risiko geopolitik global bagi memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan memberikan sokongan berterusan untuk operasi.

 

“Keputusan kewangan 1QFY26 mencerminkan permintaan stabil untuk produk sarang burung yang boleh dimakan disokong sumbangan berterusan perniagaan sarang burung teras syarikat ini," katanya.

 

Melangkah ke hadapan, kumpulan kekal fokus memperkukuh proses pengeluaran bagi meningkatkan kecekapan dan keuntungan, sambil memenuhi permintaan pelanggan merentasi pasaran. - DagangNews.com