HLIB kekal positif terhadap pemulihan pelancongan perubatan, sasaran RM3.8 bilion masih dalam landasan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB kekal positif terhadap pemulihan pelancongan perubatan, sasaran RM3.8 bilion masih dalam landasan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Julai – Hasil pelancongan kesihatan Malaysia pada suku pertama 2026 (1Q2026) masih berada dalam landasan untuk mencapai sasaran tahunan sebanyak RM3.8 bilion, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata hasil perbincangan bersama Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), pihaknya  juga menjangkakan sektor pelancongan perubatan Malaysia kembali mencatat pemulihan secara berperingkat pada separuh kedua 2026 (2H2026).

 

“Ini disokong usaha MHTC meneroka pasaran baharu, selain keadaan geopolitik yang semakin stabil susulan perkembangan rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran.

 

“Selain itu, penurunan harga minyak mentah Brent sekitar 30% daripada paras kemuncaknya membantu mengurangkan kos bahan api pesawat yang berpotensi menurunkan tekanan terhadap tambang penerbangan dan memudahkan perjalanan pesakit antarabangsa ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan,” kata HLIB dalam nota kajiannya.

 

Dalam masa sama, HLIB melihat permintaan terhadap rawatan kesihatan yang kritikal masih kekal kukuh walaupun berlaku peningkatan kos perjalanan.

 

Katanya, rawatan penting seperti rawatan penyakit kompleks dan pembedahan besar, dijangka lebih berdaya tahan kerana pesakit tidak boleh menangguhkannya.

 

“Sebaliknya, prosedur pilihan seperti pemeriksaan kesihatan dan rawatan kesuburan (IVF) berkemungkinan agak perlahan kerana pesakit mungkin memilih untuk menangguhkan perjalanan apabila kos penerbangan dan perbelanjaan berkaitan meningkat,” katanya.

 

t

 

Bagaimanapun, HLIB berkata pertumbuhan pada suku kedua 2026 (2Q2026) berkemungkinan tidak mencapai jangkaan awal susulan gangguan geopolitik yang memberi kesan kepada perjalanan antarabangsa, khususnya melibatkan rantau Timur Tengah.

 

Menurutnya, konflik Iran telah menyebabkan peningkatan tambang penerbangan serta pembatalan beberapa penerbangan, sekali gus menjejaskan pergerakan pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan di Malaysia.

 

HLIB berkata, keadaan itu memberi tekanan sementara kepada aktiviti pelancongan perubatan memandangkan sebahagian pesakit luar negara Malaysia datang dari pasaran serantau termasuk Timur Tengah.

 

Mengulas mengenai rancangan kerajaan melancarkan projek perintis produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan asas (MHIT) pada penghujung Julai, HLIB berkata inisiatif itu berpotensi membantu meningkatkan penggunaan kapasiti hospital swasta, terutama pengendali yang mempunyai kadar penggunaan katil (BoR) kurang optimum.

 

Menurut HLIB, penyertaan dalam program tersebut dijangka dibuat secara sukarela tanpa keperluan minimum jumlah katil yang perlu diperuntukkan oleh hospital yang mengambil bahagian.

 

“Keadaan ini memberikan fleksibiliti kepada pengendali hospital untuk mengoptimumkan campuran pesakit mereka selepas kadar penggunaan katil mencapai tahap yang lebih sesuai,” katanya.

 

Dalam pada itu, HLIB menurunkan penarafan sektor penjagaan kesihatan kepada “Neutral” daripada “Overweight” selepas mendapati peningkatan nilai saham sektor berkenaan susulan beberapa tawaran awam permulaan (IPO) telah banyak mengambil kira prospek pertumbuhan positif.

 

Keputusan itu turut susulan penurunan penarafan terhadap IHH Healthcare Berhad daripada “Beli” kepada “Pegang” selepas prestasi operasi kumpulan itu di Singapura bagi suku pertama tahun kewangan 2026 lebih lemah berbanding jangkaan. - DagangNews.com