Ketidakpastian dasar Trump beri kesan kepada ringgit - MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ketidakpastian dasar Trump beri kesan kepada ringgit - MOF

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Mac — Ketidakpastian dasar-dasar yang bakal dilaksanakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan kesan daripadanya dijangka memberi impak kepada prospek pertumbuhan ekonomi global termasuk Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 

"Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, ringgit akan terus dipengaruhi perkembangan pasaran kewangan global dan pasaran pertukaran asing yang dinamik. Ini turut boleh mewujudkan tekanan kepada nilai mata wang serantau, termasuk ringgit," katanya.
 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam jawapan Parlimen kepada soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada Khamis.

 

Guan Eng memintanya menyatakan sama ada prestasi nilai ringgit berbanding dollar AS dan mata wang asing negara lain tahun ini akan terjejas susulan pelaksanaan tarif dan sekatan ekonomi ke atas rakan dagang utama Malaysia oleh Presiden AS, Donald Trump.

 
Anwar menjelaskan, ketidaktentuan kali ini berpunca daripada dasar perlindungan perdagangan AS seperti tarif yang akan dilaksanakan secara meluas ke atas import dari negara lain dan keadaan pasaran kewangan yang lebih ketat di dalam dan luar negara AS.
 

"Dasar perlindungan perdagangan seperti yang pernah dilaksanakan AS sebelum ini mampu mencetuskan kemeruapan dalam pasaran kewangan global," katanya sambil menambah bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menetapkan sebarang sasaran untuk nilai ringgit.

 

Justeru tambah Anwar, prestasi nilai ringgit akan ditentukan oleh turun naik kadar faedah antara Malaysia dan AS namun meskipun tekanan kepada ringgit dari masa ke semasa akan wujud ekoran perkembangan luaran, ia tidak menjejaskan prestasi ekonomi negara.
 

Di samping itu ujar beliau, pertumbuhan asas ekonomi domestik dan kesinambungan usaha pembaharuan struktur yang dilaksanakan kerajaan ketika ini akan dapat menjadi pemangkin tambahan kepada aspek pengukuhan nilai ringgit dalam jangka masa sederhana.
 

"Sehubungan itu, BNM akan terus memantau pasaran pertukaran asing untuk memastikan keadaan teratur. BNM juga sentiasa bersedia mengambil langkah campur tangan dalam pasaran untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan," katanya. - DagangNews.com