KUALA LUMPUR 11 Dis – Malaysia kini berada dalam kedudukan kukuh berdepan ketegangan perdagangan global apabila pendedahan eksport kepada tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) menyusut ketara.
Menurut CGS International, daripada sejumlah 12.4% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum ini, kesan tarif tersebut menurun kepada hanya kira-kira 4.6% dalam penilaian semasa firma berkenaan.
Ia berkata pengurangan mendadak itu didorong peningkatan jumlah produk Malaysia layak menerima pengecualian tarif, yang melonjak daripada 46.5% kepada 62.8% daripada keseluruhan eksport ke AS.
"Jumlah ini antara kadar tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN sendiri, dan peningkatan pengecualian tarif ini berlaku selepas Malaysia diiktiraf AS sebagai rakan strategik," jelasnya.
Sebelum Malaysia memeterai Perjanjian Dagangan Timbal Balas (ART) dengan AS, negara ini katanya, negara ini sudah pun menikmati tiga pusingan pengecualian tarif berskala besar sepanjang 2024.
Kata CGSI, langkah penambahan pengecualian secara khusus untuk negara yang bertaraf rakan sehaluan AS dalam konteks perdagangan, menjadikan perlindungan tarif ke atas Malaysia semakin meluas.
Usaha tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, bukan sahaja menurunkan pendedahan eksport terhadap tarif AS, tetapi turut menambah baik daya saing produk Malaysia di pasaran AS sendiri.
"Kami menilai pengumuman AS pada 31 Julai 2025, apabila tarif timbal balik purata bagi ASEAN diturunkan daripada 33% kepada 23%, dengan Malaysia turut menerima manfaat," tambahnya lagi.
Kadar tarif negara ini dapat dikurangkan daripada sebanyak 24% kepada 19%, yang menyamai Thailand, Kemboja, Indonesia dan Filipina, manakala Vietnam pula ditetapkan oleh AS pada kira-kira 20%.
CGSI menilai bahawa walaupun 'episod' ketegangan tarif baharu tidak boleh diketepikan langsung, hala tuju dasar semasa menunjukkan kecenderungan AS ke arah perdagangan bebas daripada skala.
Firma penyelidikan itu turut menggariskan beberapa faktor yang menyumbang kepada keadaan tarif kemudian didapati semakin 'tenang' antaranya penyelenggaraan gencatan tarif antara AS–China.
"Isu kelewatan siasatan tarif semikonduktor dan keputusan mahkamah AS yang mengehadkan kuasa pentadbiran White House mengenakan tarif sewenang-wenangnya juga memberi kesan positif," jelasnya.
Dalam lawatan Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2025, Malaysia dan AS menandatangani ART serta memorandum persefahaman memperluas kerjasama dalam mineral kritikal.
Negara ini turut komited menurunkan atau menghapuskan hampir semua tarif terhadap barangan AS dan menambah pembelian komersial seperti arang batu, pesawat, semikonduktor dan peralatan pusat data.
Pada masa sama kata CGSI, dengan perolehan status sebagai rakan sehaluan perdagangan AS, Malaysia secara tidak langsung berjaya menerima lebih banyak pengecualian tarif berbanding sebelum ini.
"Peningkatan ketelusan perdagangan ini secara langsung mengurangkan tekanan kepada sektor eksport Malaysia yang sebelum ini dibelenggu risiko kenaikan kos akibat tarif timbal balik AS," katanya.
Pengurangan pendedahan tarif kepada 4.6% KDNK memberi Malaysia ruang bagi mengekalkan daya saing, khususnya sektor pembuatan bernilai tinggi, elektrik dan elektronik, serta komoditi industri.
Dari sudut makro, perkembangan ini dilihat mampu menstabilkan pertumbuhan perdagangan luar negara di tengah ketidaktentuan global, sekali gus memberi sokongan tambahan pemulihan ekonomi negara.
Secara keseluruhan, walaupun risiko tarif tidak dapat dihapuskan sepenuhnya, CGSI berpandangan yang Malaysia kini menikmati kedudukan strategik lebih kukuh melalui status sebagai rakan AS.
"Penyusutan ketegangan perdagangan turut mengurangkan tekanan terhadap eksport Malaysia, merendahkan risiko ke atas KDNK, dan mengukuhkan prospek pada 2026," jelasnya. - DagangNews.com








