Kesan peluasan SST diyakini tidak jejaskan pertumbuhan domestik - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kesan peluasan SST diyakini tidak jejaskan pertumbuhan domestik - CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Jun — Peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diyakini tidakmemberi kesan ketara sehingga boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia, menurut CGS International (CGSI).


Firma penyelidikan tersebut optimis, walaupun ia mungkin mengakibatkan lonjakan jangka pendek dalam harga pengguna, dasar domestik yang menyokong dijangka dapat mengurangkan kesan secara lebih luas.


Katanya, liputan SST kali ini ditetapkan untuk menjejaskan barangan mewah dan perkhidmatan tidak penting terutamanya digunakan warga asing serta direka bagi isi rumah biasa agar kurang terbeban.


"Berdasarkan anggaran, kami menyimpulkan pengembangan SST boleh menambah 10 hingga 20 mata asas (bps) kepada indeks harga pengguna (IHP) Malaysia sepanjang tahun ini," katanya dalam satu nota.


Dari segi trajektori, CGSI menjangkakan kenaikan jangka pendek IHP sebanyak 0.5% bulan ke bulan pada Julai 2025 dan 2.2% tahun ke tahun (y-o-y) berbanding kira-kira 1.8% y-o-y pada Jun 2025.


Bagaimanapun IHP diramal memuncak pada September 2025 sekitar 2.4% y-o-y tetapi mengekalkan unjuran setahun penuh kepada 2% y-o-y, dengan merujuk harga komoditi global sebagai faktor pengurangan.


“Kami menjangkakan perkembangan harga komoditi seperti minyak dan minyak sawit akan terus kekal lemah, yang boleh memberikan penampan terhadap sebarang potensi tekanan harga di hadapan,” katanya.


Tambah CGSI, pengembangan cukai berkenaan, yang turut digelar sebagai SST 3.0, berikutan semakan awal SST 2.0 pada tahun lepas, sebenarnya hanya memberi kesan minimum terhadap pertumbuhan ekonomi.


Pihak kerajaan juga kata firma berkenaan, telah meluaskan asas cukai untuk meliputi lebih banyak barangan dan perkhidmatan mewah yang bersamaan 12.9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Pada masa sama jelasnya, kerajaan meningkatkan kadar cukai jualan ke atas 64% daripada produk tersenarai untuk menyasarkan golongan berpendapatan tinggi supaya penggunaan swasta tidak terjejas.


“Kami berpendapat kesan negatif SST 3.0 terhadap pertumbuhan KDNK pada tahun ini sepatutnya adalah sederhana disebabkan banyak sokongan daripada pembaharuan gaji dan skim bantuan tunai,” CGSI.


Mengenai semakan semula dasar monetari, CGSI berkata, ia percaya Bank Negara Malaysia kemungkinan akan kekal berhati-hati, tetapi akhirnya diramal bertindak mengurangkan kadar faedah semasa.


Firma tersebut menjangka, bank pusat itu mungkin akan mengekalkan pendirian sederhana, dan meramal pemotongan 25 bps pada kadar dasar semalaman kepada 2.75% tahun ini. - DagangNews.com