KUALA LUMPUR 15 Ogos — Malaysia dijangka mengambil masa sebelum dapat merasai kesan sepenuhnya akibat ketidaktentuan daripada pelaksanaan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) pada ketika ini.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, sama seperti negara-negara lain, pertumbuhan Malaysia pada 2025 akan dipengaruhi oleh impak keputusan tarif berkenaan.
Menurutnya, ini termasuk hasil daripada rundingan perdagangan BNM serta menjangkakan perkembangan tarif tersebut akan mempengaruhi prospek ekonomi global dan dalam negeri untuk baki tahun ini.
“Persekitaran luaran kekal mencabar. Ketidakpastian berkaitan tarif terus wujud dan kesannya akan mengambil masa sebelum ia benar-benar dirasai," katanya sebagai mengulas berhubung isu tersebut.
Terdahulu, beliau melaporkan perkembangan kedudukan kewangan Malaysia pada suku kedua 2025 yang turut disertai Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Isu tarif AS mendapat perhatian pelbagai pihak selepas Presiden Donald Trump pada 1 April 2025 mengumumkan pengenaan duti import itu kepada puluhan negara yang sebelum ini hanya sifar peratus.
Malaysia pada mulanya dikenakan 24 peratus namun ditangguhkan selama 90 hari sebelum dinaikkan kepada 25 peratus dan kemudian akhirnya menerima tarif sebanyak 19 peratus mulai awal Ogos ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, meskipun begitu, Malaysia menghadapi kesemua cabaran luaran ini dari kedudukan kukuh dengan ekonomi negara kekal berada pada landasan yang utuh.
"Perkembangan itu disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, permintaan berterusan untuk barangan elektrik dan elektronik serta penstrukturan eksport dipelbagaikan lagi," tambahnya.
Kesemua asas ini kata beliau, bersama sama dengan pembaharuan struktur berterusan, akan memastikan Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk menghadapi landskap global yang sentiasa berubah-ubah.
Jelasnya, walaupun ada risiko luaran, pertumbuhan ekonomi masih disokong teguh oleh permintaan dalam negeri yang amat berdaya tahan, serta berfungsi sebagai penampan terhadap rintangan global.
Abdul Rasheed berkata, pertumbuhan guna tenaga dan upah dalam sektor berorientasikan dalam negeri serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
"Pengembangan aktiviti pelaburan berterusan disebabkan beberapa faktor termasuk kemajuan projek infrastruktur, pelaksanaan berterusan pelaburan swasta dan pelan induk nasional," katanya.
Prospek eksport boleh ditingkatkan oleh keputusan positif daripada rundingan perdagangan yang masih berlangsung, dasar menyokong pertumbuhan di negara-negara maju dan aktiviti pelancongan.
Beliau optimis, pelaksanaan berterusan pembaharuan struktur, dan reformasi fiskal, sangat penting bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap kejutan masa hadapan. - DagangNews.com








