KUALA LUMPUR 10 April – Kenaikan harga minyak mentah global meningkatkan kos operasi PGF Capital Berhad, namun impaknya terhadap pendapatan kumpulan dijangka kekal terkawal dan tidak lebih 5%.
Menurut TA Securities, lonjakan harga komoditi itu hanya memberi kesan secara tidak langsung melalui peningkatan kos pembungkusan serta pengangkutan, di samping risiko kenaikan tarif elektrik industri.
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut berpendapat, rantaian impak akibat konflik di rantau Timur Tengah itu masih boleh diuruskan, dengan asas perniagaan kumpulan berkenaan kekal kukuh.
"Bagi suku keempat FY26, PGF Capital dijangka mencatat keuntungan teras antara RM2 juta hingga RM4.5 juta, berbanding kerugian sebanyak RM1.9 juta pada tempoh sama tahun lalu," katanya dalam nota.
Perkembangan positif itu kata TA Securities, disokong permintaan teguh terhadap produk penebat yang turut merupakan keluaran utama syarikat tersebut dengan sebahagian besarnya dieksport ke seluruh dunia.
Prestasi suku berkenaan namun dijangka lebih rendah berbanding suku sebelumnya berikutan faktor bermusim, khususnya pengurangan penghantaran ke Australia ketika musim perayaan hujung tahun.

Secara keseluruhan, pendapatan PGF Capital FY26 diunjurkan berkembang 40% tahun ke tahun (YoY), dipacu permintaan kukuh serta perluasan kapasiti melalui operasi kilang baharu di Kulim, Kedah.
"Dalam pada itu, penghantaran bagi suku pertama 2026 tidak terjejas, disokong inventori tiga bulan di gudang Australia, memastikan pertumbuhan hasil bagi 1QFY27 kekal stabil," kata TA Securities.
Firma itu menjangkakan kenaikan kos penghantaran laut akan memberi tekanan kepada margin untung bermula 2QFY27, menyebabkan unjuran pendapatan FY27 hingga FY28 disemak turun sehingga 3.3%.
Perkembangan projek hartanah PGF Capital di Tanjung Malim, Perak juga kekal di landasan, dengan pelancaran Fasa 1 yang nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM300 juta dijangka menjelang FY27.
TA Securities turut mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham syarikat ini dengan harga sasaran (TP) disemak sedikit kepada RM2.90 sesaham, mencerminkan keyakinan prospek jangka sederhana. - DagangNews.com








