KUALA LUMPUR 29 Jun — Sektor perladangan negara berdepan risiko baharu yang boleh menjejaskan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) susulan fenomena El Nino mulai separuh kedua tahun ini.
Menurut MBSB Research, situasi negatif itu dikhuatiri menyebabkan hasil tandan buah segar (FFB) susut sehingga 22%, yang akan menimbulkan kebimbangan sektor berkenaan terhadap gangguan bekalan.
Firma penyelidikan itu berkata, kebarangkalian berlakunya fenomena El Nino yang kuat hingga sangat kuat semakin meningkat, sekali gus pengurangan pengeluaran sawit negara sepanjang tahun depan.
"Tahap kekuatannya diunjurkan naik daripada hanya 6% pada Ogos kepada 62% menjelang Disember 2026, yang meningkatkan risiko tekanan cuaca terhadap kawasan utama tanaman sawit," jelasnya dalam nota.
Meskipun permintaan sektor tenaga semakin sederhana, kebarangkalian El Nino ujar MBSB Research, dijangka menjadi pemangkin baharu harga MSM menerusi gangguan bekalan yang berpotensi berlaku.
Fenomena tersebut berpotensi mencapai kemuncak pada akhir 2026, bertepatan dengan musim Monsun Barat Daya yang kelazimannya membawa cuaca lebih kering dan taburan hujan adalah amat rendah.
Artikel berkaitan: Malaysia berdepan krisis air dan tenaga serentak akibat 'Super' El Nino hingga 2027, kata AWER

Jelasnya, berdasarkan pengalaman kejadian El Nino kuat pada 1997/1998 dan 2015/2016, kesan paling ketara terhadap tanaman sawit dijangka berlaku ketika suku keempat 2026 hingga suku pertama 2027.
"Bagaimanapun, impak penuh terhadap pengeluaran FFB hanya akan dapat dilihat pemain sektor tersebut beberapa suku kemudian berikutan kitaran biologi pokok sawit itu sendiri," tambah MBSB Research.
Dari sudut geografi, Sabah dan Sarawak dijangka mengalami pengurangan taburan hujan lebih ketara, sekali gus menjejaskan perkembangan tanaman, proses pendebungaan serta pembentukan buah sawit.
Justeru ia menganggarkan jika episod El Nino 2026/2027 menyamai kekuatan sebelum ini, hasil boleh merosot 12% hingga 22%, dengan Semenanjung Malaysia dilihat terdedah tekanan cuaca yang lebih lama.
Situasi itu kata MBSB Research dijangka menyokong harga MSM apabila pasaran mengambil kira risiko kekurangan bekalan, dengan harga komoditi ini pernah meningkat 75.1% ketika El Nino 1997/1998.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan taktikal 'positif' terhadap sektor perladangan dengan sasaran purata harga MSM berlegar sekitar RM4,300 satu tan bagi tahun kewangan 2026," jelasnya.
Bagi tema pelaburan berkaitan risiko El Nino, firma penyelidikan itu memilih SD Guthrie, Ta Ann Holdings dan Sarawak Plantation sebagai pilihan utama untuk diberi perhatian oleh para pelabur.
Keadaan itu memandangkan pendedahan tinggi kepada operasi huluan, lokasi ladang serta keupayaan memanfaatkan kenaikan harga MSM sekiranya gangguan bekalan menjadi kenyataan. - DagangNews.com








