KUALA LUMPUR 29 Jun - Pelabur asing meneruskan jualan bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut di Bursa Malaysia dengan merekodkan aliran keluar sebanyak RM554.7 juta, sekali gus mencerminkan sentimen berhati-hati berterusan dalam kalangan pelabur global.
Tekanan jualan yang berpanjangan ini menggambarkan nada “risk-off” di pasaran serantau, didorong oleh kebimbangan terhadap inflasi Amerika Syarikat yang masih berlarutan serta perubahan jangkaan terhadap kadar faedah global, menurut MBSB Research.
Di peringkat pasaran ekuiti Asia dan global yang lebih luas, aliran dana kekal lemah apabila pelabur menstruktur semula portfolio masing-masing susulan ketidaktentuan yang meningkat.
Daripada lapan pasaran yang dipantau, hanya India mencatatkan kemasukan dana asing, manakala Taiwan, Korea Selatan, Thailand, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam merekodkan aliran keluar modal asing.
Secara keseluruhan, pelabur asing kembali menjadi penjual bersih selepas hanya seminggu mencatatkan aliran masuk, dengan jumlah aliran keluar mencecah kira-kira AS$21.1 bilion di pasaran utama Asia.
Hanya 5 ditutup lebih tinggi
Prestasi pasaran turut bercampur-campur apabila hanya lima daripada 20 indeks utama ditutup lebih tinggi pada minggu tersebut.
Vietnam Ho Chi Minh VSE mendahului kenaikan dengan +2.6%, diikuti FTSE 100 United Kingdom (+1.4%) dan Dow Jones (+0.6%). Sementara itu, tekanan ketara berlaku di Korea Selatan KOSPI (-7.1%), Hong Kong Hang Seng (-5.2%) dan Nasdaq (-4.6%).
Dalam pasaran mata wang dan komoditi, dolar AS susut 1.1% berbanding ringgit kepada RM4.089, sekali gus memberi sedikit sokongan kepada mata wang tempatan.
Namun begitu, harga komoditi menunjukkan penyusutan apabila minyak mentah Brent jatuh 10.7% kepada USD72 setong, manakala minyak sawit mentah (CPO) susut 1.7% kepada RM4,568 setan.
Penganalisis berpendapat tekanan inflasi berterusan di Amerika Syarikat terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi hala tuju aliran dana global, dengan pelabur kekal sensitif terhadap jangkaan kadar faedah serta isyarat makroekonomi semasa. - DagangNews.com








