Prospek sektor REIT kekal positif disokong prestasi segmen runcit yang terus berkembang - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek sektor REIT kekal positif disokong prestasi segmen runcit yang terus berkembang - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 29 Jun – Prospek sektor Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) Malaysia dijangka terus kekal positif, disokong oleh asas fundamental yang kukuh, pertumbuhan pendapatan yang berdaya tahan serta prestasi sektor runcit yang terus berkembang meskipun pasaran berdepan ketidaktentuan kadar faedah global.

 

MBSB Research, sektor REIT dijangka terus menjadi pilihan pelabur berikutan ciri defensif, aliran pendapatan berulang dan pulangan agihan yang stabil, sekali gus mampu menyediakan sokongan kepada prestasi harga unit REIT dalam jangka sederhana.

 

Sehubungan itu, Pavilion REIT dan Axis REIT kekal sebagai pilihan utama sektor dengan kedua-duanya mengekalkan saranan BELI, masing-masing pada harga sasaran RM2.00 dan RM2.17.

 

Menurut firma penyelidikan itu, Pavilion REIT dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih kukuh hasil semakan kadar sewa yang positif di Pavilion Kuala Lumpur Mall dan Pavilion Bukit Jalil.

 

Selain prospek pertumbuhan tersebut, Pavilion REIT turut menawarkan hasil agihan kasar yang menarik sebanyak 5.9%.

 

Axis REIT pula dijangka mengekalkan prestasi pendapatan yang stabil dalam tempoh terdekat hingga sederhana, disokong oleh peningkatan kadar sewa aset perindustrian serta strategi pengambilalihan aset yang aktif.

 

MBSB Research juga menaik taraf Sunway REIT kepada BELI daripada NEUTRAL, dengan harga sasaran dikekalkan pada RM2.39 selepas kelemahan harga unit kebelakangan ini menjadikan hasil agihan kasar meningkat kepada 6.1%.

 

Menurutnya, prestasi asas Sunway REIT kekal kukuh dengan segmen runcit dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan.

 

Penyusutan Indeks KL REIT

Dalam masa sama, kelemahan Indeks KL REIT baru-baru ini dilihat membuka ruang kemasukan yang lebih menarik kepada pelabur.

 

Indeks KL REIT merekodkan penyusutan sebanyak 2.9% pada suku pertama 2026 susulan jualan panik selepas pengumuman tamatnya konsesi cukai pegangan ke atas agihan REIT.

 

Bagaimanapun, indeks itu masih mencatat kenaikan kecil sebanyak 0.4% bagi suku semasa, sekali gus mengatasi prestasi FBM KLCI yang susut 0.5% dalam tempoh sama.

 

Bagi tahun semasa, Indeks KL REIT turun 2.4%, manakala sepanjang Jun sahaja ia menyusut 1.2%, didorong kebimbangan terhadap potensi kenaikan kadar faedah global yang boleh mengurangkan daya tarikan relatif REIT berbanding instrumen berpendapatan tetap lain.

 

Namun begitu, MBSB Research berpandangan penyusutan tersebut lebih bersifat sementara dan membuka peluang pembelian memandangkan hasil agihan REIT kekal menarik, selain sektor itu masih menawarkan pendapatan yang stabil serta profil defensif ketika ketidaktentuan ekonomi global berterusan. - DagangNews.com