KUALA LUMPUR 29 Jun - Vestigo Petroleum Sdn Bhd mengesahkan kejadian kebakaran di fasiliti West Lutong Vent A (WLV-A), luar pesisir Sarawak pada Ahad yang dapat dilihat dari bandar raya Miri dengan jelas.
Dalam satu kenyataan media hari ini, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar insiden tersebut.
Menurut anak syarikat Petronas Carigali itu berkata insiden berkenaan berlaku sekitar jam 2 petang dan telah berjaya dikawal.
Syarikat itu turut memaklumkan, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan serta telah mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu bagi menguruskan sebarang risiko pendedahan.
“Tiada kecederaan atau kakitangan yang terlibat, dan insiden itu tidak menimbulkan ancaman segera kepada komuniti sekitar atau alam sekitar,” menurut kenyataan tersebut.

Vestigo menegaskan komitmennya untuk terus memastikan keselamatan kakitangan, melindungi alam sekitar serta mengekalkan integriti operasi syarikat.
Sebuah video insiden itu tular di media sosial pada Ahad, menunjukkan kepulan asap hitam tebal keluar dari pelantar luar pesisir dan mencetuskan spekulasi berlakunya letupan. - DagangNews.com








