Kes tuntutan aset: Mudajaya berdepan perbicaraan semula selepas mahkamah terima rayuan Crest Worldwide | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kes tuntutan aset: Mudajaya berdepan perbicaraan semula selepas mahkamah terima rayuan Crest Worldwide

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 6 Mei — Prosiding melibatkan Mudajaya Group Berhad berlanjutan apabila Mahkamah Rayuan memutuskan kes terhadap Crest Worldwide Resources Sdn Bhd perlu dibicarakan semula.


Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, perbicaraan secara penuh akan berlangsung di Mahkamah Tinggi, sekali gus menangguhkan penyelesaian muktamad yang sudah berlarutan sejak 2019.


Katanya, prosiding sekali lagi itu susulan rayuan oleh Crest Worldwide Resources yang didengar di Mahkamah Rayuan pada 5 Mei 2026, susulan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 22 Oktober 2025.


"Mahkamah Rayuan memutuskan hakim perbicaraan terdahulu terkhilaf menggunakan budi bicara dengan mengarahkan penentuan awal kes di bawah Perintah 33 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012," jelas Mudajaya.


Tambahnya, isu yang dibangkitkan melibatkan pertikaian fakta yang memerlukan perbicaraan penuh, dan mengarahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula secara menyeluruh.


Mahkamah turut memerintahkan kos minimum RM20,000 dibayar kepada defendan, serta mengarahkan pemulangan semula RM100,000 kos yang sebelum ini dibayar kepada Mudajaya Corporation Berhad (MCB).


Kes tersebut melibatkan tuntutan anak syarikat Mudajaya itu bagi mendapatkan pemilikan kosong ke atas pelbagai aset hartanah termasuk kediaman, pejabat dan komersial di bawah beberapa perjanjian jual beli.


"Keputusan terbaharu ini tidak memberi implikasi kewangan tambahan buat masa ini, namun dijangka terus menjadi tumpuan pelabur memandangkan tempoh penyelesaian berpotensi lebih panjang," katanya.


Sehubungan itu, pihak pengurusan Mudajaya berkata, sebarang pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan kes berkenaan akan dimaklumkan kemudian. - DagangNews.com