Kes saman RM279 juta: Cape EMS tegaskan MOU bersama AeroNas hanya perbincangan awal, akan lawan di mahkamah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kes saman RM279 juta: Cape EMS tegaskan MOU bersama AeroNas hanya perbincangan awal, akan lawan di mahkamah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei — Cape EMS Bhd (CEB) menjelaskan cadangan kerjasama antara anak syarikat milik penuhnya, Cape Manufacturing (M) Sdn Bhd (CMM) dengan Aeronas Aerocraft Sdn Bhd hanya melibatkan memorandum persefahaman (MOU) bagi tujuan perbincangan awal dan kerja pembangunan permulaan berkaitan bengkel pemasangan pesawat ringan.

 

Menurut CEB, kerjasama tersebut masih berada pada peringkat penerokaan dan belum mencapai tahap pelaksanaan rasmi seperti yang didakwa dalam tindakan undang-undang difailkan oleh AeroNas.

 

Katanya, tiada sebarang perjanjian komersial muktamad, pengaturan pelaksanaan yang mengikat, dokumen pelaburan definitif atau aturan operasi rasmi dimeterai antara kedua-dua pihak sepanjang tempoh MOU itu berkuat kuasa.

 

CEB berkata, MOU tersebut hanya berfungsi sebagai dokumen rangka kerja bagi membolehkan kedua-dua pihak menjalankan perbincangan awal dan menilai potensi pembangunan fasiliti pemasangan pesawat ringan di Malaysia.

 

“CMM dan AeroNas tidak memeterai sebarang perjanjian komersial akhir atau pengaturan pelaksanaan komprehensif yang mengikat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut syarikat itu, cadangan kerjasama tersebut juga tertakluk kepada beberapa syarat penting termasuk penubuhan loji pemasangan pesawat ringan, kelulusan pihak berkuasa serta pematuhan terhadap keperluan komersial, teknikal, operasi, kewangan dan tadbir urus korporat.

 

CEB berkata, pihaknya turut menjalankan semakan dalaman dan penilaian risiko bagi menilai keseluruhan cadangan projek sebelum sebarang keputusan pelaksanaan dibuat.

 

Hasil semakan itu mendapati wujud beberapa isu berkaitan tadbir urus korporat, pematuhan, kewangan dan daya maju komersial yang akhirnya membawa kepada keputusan CMM untuk menamatkan MOU berkenaan.

 

Dalam perkembangan sama, CEB turut menjelaskan tindakan undang-undang yang difailkan oleh AeroNas Aerocraft Sdn Bhd terhadap syarikat itu melibatkan beberapa tuntutan kewangan berskala besar.

 

Antara tuntutan yang dikemukakan ialah dakwaan ganti rugi khas sebanyak RM10.017 juta selain cadangan bantuan kewangan bernilai RM40 juta bagi pembangunan loji pemasangan pesawat.

 

Loji yang dicadangkan itu didakwa mempunyai kapasiti untuk memasang sehingga 30 pesawat setahun sekiranya projek berkenaan diteruskan ke peringkat pelaksanaan penuh.

 

Selain itu, AeroNas turut mendakwa mengalami kehilangan hasil berjumlah RM229.5 juta yang dikaitkan dengan cadangan penjualan sebanyak 30 buah pesawat di bawah projek kerjasama tersebut.

 

Bagaimanapun, CEB berkata, pihaknya telah mengarahkan peguam syarikat untuk memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya AeroNas mengemukakan butiran lanjut berkaitan tuntutan yang dibuat.

 

Menurutnya, syarikat juga akan mengambil langkah lanjut termasuk memohon supaya tuntutan tersebut dibatalkan sekiranya didapati tidak mempunyai asas yang kukuh dari sudut perundangan.

 

CEB berkata, prosiding undang-undang itu dijangka tidak memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan atau operasi kumpulan memandangkan kerjasama dengan AeroNas bukan komponen utama dalam pelan transformasi “CEB 2.0” serta bukan penyumbang signifikan kepada prestasi syarikat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CEB, Christina Tee berkata, syarikat kekal komited terhadap pelaksanaan operasi secara berdisiplin, tadbir urus korporat yang kukuh dan prinsip membuat keputusan secara bertanggungjawab dalam setiap inisiatif perniagaan yang diterokai kumpulan. - DagangNews.com