Kes pembatalan kontrak sewaan helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk syarikat Aerotree Defence & Services Sdn Bhd (Aerotree) menjadi perhatian apabila kerajaan dihalang daripada menuntut jaminan bank bernilai RM1.87 juta.
Aerotree baru-baru ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghalang kerajaan daripada menuntut wang jaminan bank tersebut.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) membatalkan kontrak sewaan helikopter UH-60A Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) setelah Aerotree gagal memenuhi tarikh akhir penghantaran helikopter pada 30 Oktober 2024.
Hasrat untuk mendapatkan helikopter Black Hawk bagaimana pun diteruskan apabila MINDEF pada 4 Ogos lalu membuka kontrak baharu bernilai RM185.2 juta kepada syarikat yang berkelayakan.

Sejak awal, kes ini dijangka menjadi tumpuan kerana ia melibatkan isu-isu penting berkaitan tadbir urus kontrak kerajaan dan hak syarikat tempatan dalam projek pertahanan.
Isu lain yang menjadi perhatian dalam kalangan penganalisis pertahanan tempatan pula adalah reputasi korporat dalam persekitaran perniagaan yang kompetitif iaitu ekonomi pertahanan negara.
Pada September lalu, Aerotree memfailkan saman RM353 juta terhadap MINDEF berhubung pembatalan sewaan.
Aerotree dianugerahkan kontrak tersebut pada 17 April 2023 bagi membekalkan 4 buah helikopter Black Hawk bernilai RM187.5 juta kepada Tentera Darat Malaysia yang akan dihantar secara berperingkat-peringkat.
Di bawah inisiatif pembiayaan swasta, Aerotree akan memiliki, mengendalikan, dan menyelenggara pesawat berkenaan.



Susulan kontrak ini, Aerotree telah menandatangani perjanjian dengan Havelsan dari Türkiye bagi latihan simulator untuk 14 juruterbang Tentera Darat Malaysia.
Kerjasama juga dilakukan dengan akademi latihan dari Slovakia untuk membeli dan menaik taraf helikopter berkenaan.
Bagaimana pun, penghantaran helikopter Black Hawk dikatakan tertangguh disebabkan pengubahsuaian teknikal, keperluan latihan juruterbang, serta gangguan rantaian bekalan akibat perang Russia-Ukraine.
Difahamkan, helikopter-helikopter berkenaan telah pun didaftarkan dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat dan sedang menunggu kelulusan eksport di bawah Peraturan Trafik Antarabangsa dalam Senjata.
Ini adalah amalan biasa apabila sesebuah negara atau pihak ketiga ingin mendapatkan helikopter buatan Amerika Syarikat untuk kegunaan ketenteraan atau keselamatan.


Helikopter Sikorsky Black Hawk terpakai yang hendak disewa Aerotree bagi pihak MINDEF ini merupakan helikopter varian ketenteraan.
Dalam dunia kontrak komersial, sebarang penamatan yang dilakukan tanpa justifikasi kukuh boleh dianggap sebagai pelanggaran kontrak, lebih-lebih lagi jika syarikat tidak diberikan peluang untuk membetulkan sebarang kelewatan atau kekurangan.
Dalam konteks ini, tindakan kerajaan untuk menuntut wang jaminan bank boleh dianggap sebagai mendahului keputusan mahkamah, sebelum sebarang kesalahan atau kegagalan sebenar dibuktikan secara sah.
Jaminan bank sering digunakan dalam kontrak kerajaan sebagai bentuk perlindungan sekiranya kontraktor gagal melaksanakan tanggungjawab.
Bagaimana pun, ia bukanlah sesuatu yang boleh dituntut secara automatik dalam semua keadaan dan tertakluk atas keputusan mahkamah.


Wang jaminan bank kekal tidak disentuh sehingga mahkamah memutuskan secara sah siapa yang benar-benar telah melanggar kontrak.
Sebagai syarikat yang telah lama terlibat dalam industri pertahanan, Aerotree bergantung kepada kepercayaan pelanggan dan imej profesionalisme.
Justeru, sebarang tanggapan bahawa syarikat gagal melaksanakan kontrak boleh membawa kesan jangka panjang.
Reputasi yang tercalar boleh menjejaskan peluang mendapatkan projek masa depan, bukan sahaja di dalam negara, malah pada peringkat antarabangsa.
Sebagai perbandingan, kes antara Aerotree dan MINDEF ini berbeza dengan skandal kelewatan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) TLDM yang gagal disiapkan


Projek pembinaan 6 buah LCS gagal disiapkan dan menjadi skandal besar di Malaysia, dengan tiada satu pun kapal siap walaupun pembayaran RM6 bilion telah dibuat.
Isu ini berpunca daripada masalah tadbir urus, perolehan, dan kewangan, yang menyebabkan kelewatan dan penangguhan projek sejak 2019, walaupun usaha untuk menyambung semula dan menyiapkan baki kapal dijalankan kemudiannya.
Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Ogos 2022 mendedahkan bahawa kapal LCS pertama yang dilancarkan pada 2017 hanya siap kurang dari 44 peratus dan pelancarannya hanya memberi persepsi seolah-olah kapal itu sudah siap.
Projek itu digantung pada tahun 2019 dan disambung semula pada 2022 dengan kerajaan berusaha untuk mengurangkan bilangan LCS daripada 6 kepada 5 buah.
Kerajaan terpaksa mengambil langkah untuk menubuhkan Ocean Sunshine Bhd (SPV) melalui pengambilalihan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk mengembalikan kepercayaan pihak berkepentingan dan meneruskan projek ini.

Kos pembinaan LCS juga telah meningkat kepada RM11.22 bilion akibat kelewatan, kos reka bentuk, harga peralatan dan inflasi.
Tindakan Aerotree memohon injunksi bagi menghalang tuntutan jaminan bank oleh kerajaan bukan sekadar soal kewangan.
Ia adalah cerminan konflik yang lebih besar antara hak pihak berkuasa untuk bertindak atas kegagalan kontrak dan hak syarikat untuk mendapatkan keadilan apabila kontrak dibatalkan tanpa proses yang seimbang.
Kes ini membuka ruang perbincangan penting tentang akauntabiliti dalam pelaksanaan kontrak awam, hak-hak syarikat tempatan dan bagaimana reputasi dalam sektor strategik seperti pertahanan mesti dilindungi sebaik mungkin. - DagangNews.com







