Kes 1MDB: Zeti masih disiasat namun belum cukup untuk didakwa - Azalina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kes 1MDB: Zeti masih disiasat namun belum cukup untuk didakwa - Azalina

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Mac — Jabatan Peguam Negara (AGC) tiada keterangan yang mencukupi untuk mengemukakan pertuduhan terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz atas pendakwaan salah laku pemindahan dana 1MDB ke luar negara.
 

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan perkara tersebut dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat terhadap soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai mengapa tiada tindakan yang dikenakan ke atas Zeti Akhtar.
 

Beliau juga meminta agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan sama ada proses siasatan penuh telah dijalankan ke atas segala aset dimiliki oleh Zeti Akhtar dan suaminya iaitu Datuk Dr Tawfiq Ayman serta anak-anak pasangan tersebut.

 

Mengulas lanjut, Azalina berkata bahawa Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia tidak ada membuka kertas siasatan terhadap Zeti Akhtar dan ahli-ahli keluarganya.
 

Bagaimanapun, beliau mengesahkan yang pasukan tersebut sedang giat pula menyiasat Tawfiq bersama-sama pihak berkaitan lain, susulan telah ada laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi dengan nombor repot 12267/18.
 

Beliau menambah, Tawfiq ketika ini disiasat pasukan AMLA tersebut mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
 

“Saya menjawab bagi pihak Jabatan Peguam Negara dan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada mereka, keterangan yang ada tidak mencukupi untuk mengemukakan pertuduhan terhadap Zeti Akhtar.
 

“Namun begitu, perlu mengambil perhatian bahawa tindakan jenayah bagi mana-mana pihak tiada limitasi dari segi masa,” jelas beliau sebagai menjawab persoalan dikemukakan Lip Eng berhubung ketiadaan tindakan ke atas bekas gabenor itu.
 

Azalina berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di bawah polis telah menjalankan siasatan mereka secara menyeluruh terhadap skandal 1MDB dan tidak sekadar menumpukan kepada individu tertentu sahaja.
 

Zeti Akhtar, 77, sebelum ini pernah memberikan keterangannya sebagai saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 

Beliau secara konsisten menafikan sebarang perbuatan salah laku dan berkata, dakwaan yang dikenakan terhadap dirinya serta keluarga sebagai 'benar-benar palsu dan berniat jahat'. - DagangNews.com