Kerugian Lotte Chemical Titan dikhuatiri berterusan, Maybank IB kekal saranan 'jual' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian Lotte Chemical Titan dikhuatiri berterusan, Maybank IB kekal saranan 'jual'

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 31 OktLotte Chemical Titan Holding Berhad dijangka terus mencatatkan kerugian bersih dalam tempoh beberapa suku yang akan datang, menurut Maybank Investment Bank.


Firma penyelidikan tersebut menambah, perkembangan negatif berkenaan ekoran penurunan berterusan dalam produk polietilena PE-naphtha yang kini berada pada paras terendah sejak wabak Covid-19.


Justeru, ia masih lagi mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) juga tidak berubah kepada 39 sen, berdasarkan penilaian buku sesaham (BVPS) hanya sebanyak 0.1 kali pada FY25.


"Ini di bawah paras terendah sejarah Lotte Chemical Titan dan kami menegaskan kerugian dijangka berlarutan berikutan keadaan pasaran petrokimia masih suram," kata Maybank IB dalam notanya.


Selain itu, ia menjelaskan harga olefin seperti HDPE, LDPE dan LLDPE kekal tertekan pada paras rendah sejak tempoh separuh pertama 2020, manakala harga naphtha pula didapati masih tinggi.


Keadaan ini tambah firma tersebut, mengakibatkan margin keuntungan asas selepas ditolak kos bahan mentah kekal sempit sekitar AS$330 (RM1,383) setiap tan, jauh di bawah paras keuntungan syarikat.


Berdasarkan analisis sensitiviti dalaman Maybank IB, titik pulang modal keuntungan bersih Lotte Chemical Titan hanya dapat dicapai jika margin tersebut melebihi AS$500 (RM2,096) setiap tan.


"Kami ramal syarikat pemprosesan petrokimia ini akan terus mencatatkan kerugian bersih sekurang-kurangnya untuk beberapa suku mendatang, selagi tekanan harga komoditi berterusan," jelasnya.


Ia turut merujuk perkembangan projek LINE milik kumpulan itu di Indonesia sudah memulakan operasi secara komersial pada 15 Oktober 2025, menandakan pencapaian penting bagi syarikat berkenaan.


Bagaimanapun jelas Maybank IB, permulaan operasi ini dijangka menambah tekanan ke atas prestasi kewangan, apabila Lotte Chemical Titan mula mengiktiraf penyusutan tahunan sekitar RM700 juta.


Dalam keadaan harga jualan yang masih lemah, pengeluaran dari projek tersebut dijangka sukar mencapai paras penampungan kos, dengan kerugian kumpulan dijangka melebar lagi pada FY26 pula.


"Kami turut menurunkan skor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat ini kepada 17 daripada 100 bagi FY24, berbanding 30 pada FY23, mencerminkan prestasi semakin lemah," katanya.


Kemerosotan ESG itu tambah Maybank IB, disebabkan peningkatan jumlah sisa buangan keseluruhan Lotte Chemical Titan, kenaikan intensiti penggunaan air, serta penurunan kadar kitar semula.


Di samping itu, syarikat tersebut masih belum melaksanakan rangka kerja pelaporan dan tidak mendedahkan pelepasan gas rumah hijau, menjadikannya antara skor ESG di bawah purata industri.


Pada masa sama, firma itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran keuntungan FY25 hingga FY27 kerana landskap pasaran petrokimia global masih lemah dan tidak menunjukkan tanda pemulihan.


"Kami menegaskan walaupun projek LINE menandakan langkah penting dalam strategi jangka panjang, tekanan peningkatan kos akan terus mengekang prestasi kewangan kumpulan," kata Maybank IB.


Dengan prospek keuntungan Lotte Chemical Titan yang turut masih kabur dan skor ESG menurun, firma berkenaan mengekalkan saranan 'jual' terhadap saham syarikat ini. - DagangNews.com