Kerugian bersih Midtown naik 163% kepada RM44.6 juta bagi FY25 disebabkan kos bahan binaan mahal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerugian bersih Midtown naik 163% kepada RM44.6 juta bagi FY25 disebabkan kos bahan binaan mahal

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 5 MeiMidtown Group Berhad mencatatkan peningkatan kerugian bersih sebanyak 163.4% kepada RM44.6 juta bagi tempoh kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25). 


Prestasi lemah itu disebabkan terutamanya faktor tekanan margin akibat lonjakan harga bahan binaan utama seperti agregat, pasir, keluli, dan konkrit yang didorong oleh gangguan rantaian bekalan global.


Selain itu menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, tempoh pelaporan lebih panjang iaitu 18 bulan susulan pertukaran akhir tahun kewangan syarikat turut menjejaskan prestasi.

 

 

 

 

 

 

 


"Kumpulan ini bagaimanapun melaporkan perolehan sebanyak RM103.9 juta bagi FP25, yang meningkat kira-kira 38.8% berbanding RM74.8 juta pada tahun kewangan sebelumnya (FY24)," jelas Midtown.


Menyentuh isu kerugian, ia menyatakan di samping isu kenaikan kos bahan mentah, kumpulan turut berdepan dengan peningkatan kos buruh dan kekangan operasi pada projek-projek tertentu.


Sektor kejuruteraan awam dan pembinaan kekal sebagai penyumbang utama pendapatan sebanyak 71.2% (RM74.0 juta), manakala segmen pengubahsuaian yang baru diperkenalkan menjana 22.4% (RM23.3 juta).


Midtown namun sudah berjaya menyelesaikan pelupusan 100% kepentingan dalam IS Energy Sdn Bhd sekitar Januari 2025 sebagai strategi bagi mengurangkan hutang dan mengoptimumkan peruntukan modal.


"Pada masa sama, kumpulan ini juga menyempurnakan pengurangan modal saham sebanyak RM115 juta pada Ogos 2025 bagi menghapuskan kerugian terkumpul dan memperkukuhkan kewangan," tambahnya.


Walaupun berdepan kerugian, pihak pengurusan menyatakan keyakinan berhati-hati terhadap prospek masa hadapan syarikat menerusi tumpuan kepada sektor pusat data (DC) yang sedang berkembang pesat. 


Kata Midtown, anak syarikatnya, Midtown Engineering Sdn Bhd, berjaya memperoleh dua kontrak penting pada Februari 2026, antaranya projek pembinaan substesen DC di Johor Bahru bernilai RM63.6 juta.

 

 

 

 

 

 


Subsidiari tersebut turut meraih projek reka bina DC di Cyberjaya bernilai RM40.5 juta. Kumpulan ini disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia di bawah sektor produk dan perkhidmatan industri.


Lembaga Pengarah percaya syarikat berada di kedudukan strategik untuk memanfaatkan inisiatif kerajaan dan permintaan sektor swasta bagi projek bernilai tinggi. - DagangNews.com